Banjir: Kami dah letih barang asyik rosak

Penduduk membersihkan peralatan rumah apabila dibenarkan pulang seketika sebelum pulang semula ke PPS. Gambar kecil dari kiri: Hadiah, Muhammad Aziq, Abd Aziz
Penduduk membersihkan peralatan rumah apabila dibenarkan pulang seketika sebelum pulang semula ke PPS. Gambar kecil dari kiri: Hadiah, Muhammad Aziq, Abd Aziz
A
A
A

KOTA TINGGI - "Bila banjir, barang asyik rosak. Letih macam ni," Itu luahan penduduk Taman Mawai setiap kali banjir berlaku di kawasan kediaman mereka dengan kejadian terbaharu pada Jumaat yang turut merosakkan peralatan rumah termasuk perabot.

Seorang penduduk, Muhamad Aziq Abd Aziz, 24, berkata, sesuatu perlu dilakukan dalam usaha menangani permasalahan tersebut.

Menurutnya, setiap kali banjir, pastinya banyak barangan rumah milik penduduk rosak dan keadaan ini sangat memenatkan untuk kami mencuci dan mengemas semula kediaman masing-masing.

Penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing selepas dibenarkan pulang seketika pada Ahad.
Penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing selepas dibenarkan pulang seketika pada Ahad.

"Memang penat kalau macam ni tiap-tiap tahun, kawasan di sini banjir sebab yang dikorek hanyalah untuk dalamkan sungai dan bukannya lebarkan sungai.

"Kawasan ini dah jadi macam tempat air bertakung air, tambah pula tak lama lagi bulan puasa (Mac). Jika berlarutan memang perit kerana masalah sama berlaku setiap tahun," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad,

Seorang lagi penduduk, Abd Aziz Omar, 57, berharap insiden banjir yang berlaku di kawasan mereka dapat ditangani segera bagi memastikan keselesaan penduduk.

Dia berkata, masalah banjir di kawasan berkenaan dikenal pasti berpunca akibat masalah perparitan yang menyebabkan pengaliran air tidak lancar ke sungai sekali gus menjadikan kawasan terbabit sebagai kawasan tadahan air.

"Bagi saya, masalah banjir di sini berpunca akibat masalah perparitan, tindakan melebarkan Sungai Pemandi tanpa mendalamkannya telah menyebabkan pengaliran air di kawasan ini tidak lancar.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, selagi jambatan di jalan besar tidak dibesarkan, selagi itulah masalah banjir di sini berlaku," katanya.

Kerja-kerja membersihkan rumah oleh penduduk Taman Mawai pada Ahad.
Kerja-kerja membersihkan rumah oleh penduduk Taman Mawai pada Ahad.

Sementara itu, Hadiah Jaafar, 53, berkata, dia sempat membuat persediaan awal dengan mengemas barang-barang di rumahnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan hujan bermula pada jam 8 pagi Jumaat.

"Masa mula hujan tu, saya dah mula kemas barang sikit-sikit, bila tengok hujan kali ni lain macam.

"Barang-barang saya letak atas meja dan pada jam 6 pagi air mula naik, bukan dari sungai tapi dari kawasan belakang Bukit Samsu tapi orang tak perasan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!