Kebakaran Los Angeles: Api merebak ke kawasan baharu

LOS ANGELES - Pasukan bomba dan penyelamat sedang bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran hutan besar-besaran di sekitar Los Angeles yang kini dilaporkan merebak di beberapa kawasan baharu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 16 orang disahkan terbunuh akibat kebakaran yang melanda bandar itu dan menyebabkan struktur bangunan dan kediaman hangus serta mencetuskan kegelisahan jutaan penduduk California.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memadamkan kebakaran termasuk menggunakan pesawat dan helikopter, Kebakaran Palisades dilaporkan masih merebak pada Sabtu dengan menuju ke timur laut dan Lembah San Fernado yang padat dengan penduduk.
"Kami sangat cemas. Setiap masa mereka menggugurkan air, ia menjadi semakin baik, tetapi kemudian ia menjadi lagi teruk," kata Sarah Cohen memberitahu Los Angeles Times mengenai ancaman rumahnya di Tarzana.
Sementara itu, rakaman dari kawasan Mandeville Canyon menunjukkan satu rumah hangus dijilat, dengan api dilihat meleret sehingga lereng bukit dan mengancam kawasan lain.
"Keadaan cuaca yang kritikal akan menjadikan kebakaran bertambah buruk pada hari ini di selatan California dan keadaan ini akan reda sekurang-kurangnya awal minggu depan," menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
Sementara itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada mangsa yang terselamat supaya tidak tinggal dalam rumah dan memakai topeng muka bagi mengelak terhidu zarah toksik dari asap tebal menyelubungi seluruh bandar.
Pada Sabtu, Kebakaran Palisades dilaporkan terkawal sebanyak 11 peratus, namun merebak kepada 23,600 ekar manakala Kebakaran Eaton mencecah 14,000 ekar dan terkawal sebanyak 15 peratus.
Tetapi angka rasmi menunjukkan lebih 12,000 struktur terbakar tidak termasuk rumah dan jumlah itu seperti bangunan tambahan, kenderaan dan bangsal.
Dengan laporan rompakan dan perintah berkurung pada waktu malam, polis dan Pengawal Kebangsaan telah menempatkan pusat pemeriksaan bagi menghalang orang ramai memasuki zon bencana. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
