Tiga termasuk remaja sesak nafas, 60 rumah setinggan musnah

KOTA KINABALU - Kira-kira 60 rumah musnah terbakar dalam kebakaran melibatkan kawasan setinggan perkampungan atas air di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, tiga individu berusia antara 14 dan 49 tahun mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal di lokasi tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.46 malam.
"Kebakaran melibatkan rumah atas air jenis tidak kekal berkeluasan 0.4 hektar dan dianggarkan 60 rumah musnah terbakar 100 peratus.
"Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran turut mendapat bantuan daripada BBP Kunak, Bomba Komuniti Titingan dan unit dron.
"Operasi melibatkan seramai 47 anggota BBP Tawau, empat anggota BBP Kunak, tujuh anggota dari Bomba Komuniti Titingan bersama tiga anggota dari unit dron.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati ada tiga mangsa yang mengalami sesak nafas iaitu seorang remaja perempuan dan lelaki serta wanita dewasa yang telah diberikan rawatan oleh pasukan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba," katanya.
Jemishin berkata lagi, api berjaya dikawal pada jam 9.20 pagi dan pemeriksaan turut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut.
"Operasi ditamatkan pada jam 11.20 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!