Hubungan pemimpin parti kerajaan tidak terkesan - Dr Mohammed Taufiq

SHAH ALAM - Hubungan dalam kalangan pemimpin parti-parti kerajaan tidak akan terkesan dengan tindakan UMNO yang ingin terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertua Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, beliau yakin tindakan UMNO sama sekali tidak akan memecahkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti tersebut.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah berkata, ia adalah hak parti masing-masing apabila UMNO berusaha memperjuangkan pemimpin mereka.
"Kita di peringkat pimpinan khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sentiasa menghormati pemimpin-pemimpin terutamanya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sendiri.
"Fokus kita bukanlah adendum dan juga sebagainya, tapi fokus utama adalah pengukuhan parti-parti dalam (Kerajaan Perpaduan) itu yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertua Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Dr Mohammed Taufiq, apa yang lebih penting sebenarnya jangan menangguk di air yang keruh seperti yang dibuat oleh pembangkang, yang dilihat memainkan isu adendum ini seolah-olah menyatakan kerajaan sekarang menderhaka.
Beliau berkata, hakikatnya, tiada mana-mana kenyataan yang menyatakan bahawa kerajaan menderhaka.
Menurutnya, pihak mereka melihat pembangkang menggunakan modus operandi itu untuk memecah-belahkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Bagaimanapun, ia tidak akan memberi kesan apa-apa,malah ia memberi sebarang polisi ataupun bantuan yang ada sekarang pada PH dan BN," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan, sesuatu perkara perlu melalui prosesnya berlandaskan perlembagaan yang ada di Malaysia.
"Selagi mana ia mengikut proses,maka kita bersikap terbuka dan ia tidak akan memecahkan-belahkan (hubungan)," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!