'Ibarat neraka dunia'

LOS ANGELES - Penduduk California pada Jumaat menuntut penjelasan pihak berkuasa tentang punca kebakaran dahsyat hutan di Los Angeles yang kemudiannya merebak dengan cepat ke kawasan kejiranan sepanjang minggu lalu.
Bencana yang diumpamakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebagai zon perang itu turut meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa.
Ketika ini, banyak penduduk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap persediaan dan tindak balas perlahan pihak berkuasa terutamanya berkaitan amaran pemindahan yang mengelirukan.

Bagi meredakan kemarahan orang ramai, Gabenor Gavin Newsom mengarahkan semakan secara menyeluruh terhadap utiliti di bandar tersebut berikutan masalah kekurangan bekalan air ketika fasa awal kebakaran itu disifatkan amat membimbangkan.
"Kami perlukan jawapan bagaimana perkara itu berlaku," ujar kandungan surat terbuka dihantar beliau.
Sementara itu, beberapa penduduk di kawasan kejiranan mewah meluahkan rasa kecewa terhadap pihak berkuasa di kawasan Pacific Palisades yang diibaratkan seperti neraka dunia.
"Mereka gagal bertindak dan membiarkan kami terperangkap," kata Nicholas Norman.
Susulan kejadian rompakan yang semakin meningkat, perintah berkurung pada waktu malam telah dikuatkuasakan di kawasan penduduk dipindahkan.

Kira-kira 22 individu yang terlibat kejadian curi turut diberkas di seluruh Los Angeles yang kini dikawal Pengawal Negara.
Kebakaran hutan biasanya berlaku secara semula jadi, namun saintis mendakwa perubahan iklim yang disebabkan aktiviti tidak terkawal manusia telah mengubah dinamik cuaca di samping keadaan sangat kering di California menyebabkan ia lebih mudah terbakar. - Agensi
Info:
> Lima kebakaran berasingan sepanjang minggu lalu telah memusnahkan lebih 15,000 hektar kawasan, membinasakan kira-kira 10,000 struktur.
> Tiupan angin yang perlahan memberi peluang kepada pasukan bomba untuk mengawal api daripada terus marak.
> Di kawasan paling teruk terjejas, Pasific Palisades dan Malibu, kira-kira lapan peratus perimeter lokasi kebakaran seluas lebih 8,000 hektar berjaya dikawal.
> Skala kemusnahan bandar kedua terbesar di AS itu disifatkan sebagai paling mahal pernah direkodkan. Kos kerugian dianggarkan mencecah antara AS$135 bilion (RM607 bilion) dan AS$150 bilion (RM674 bilion).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

