Remaja 15 tahun hamil diperkosa teman lelaki

SUBANG JAYA - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun hamil 10 minggu selepas disyaki menjadi mangsa rogol kenalan lelakinya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya jam 12.12 tengah malam pada Jumaat.
"Laporan dibuat oleh doktor selepas merawat mangsa.
"Remaja itu disahkan mengandung 10 minggu disyaki telah dirogol oleh rakan lelakinya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an sejak November lalu.
Katanya, bermula daripada perkenalan itu mangsa dan suspek telah melakukan hubungan seks di rumah suspek.
"Suspek giat dikesan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan," ujarnya.
Tegasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor T B Vanitha di talian 017-2229832 atau 03-7862 7222 selain boleh tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
