Pasor Percuma Ganu Kite! bantu penduduk terjejas banjir

Orang ramai tidak melepaskan peluang mengambil barangan seperti pakaian secara percuma pada Program 'Pasor Percuma Ganu Kite!' kali ke 35 di Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, pada Sabtu. Foto Bernama

A
A
A

KUALA NERUS - Sekumpulan sukarelawan menganjurkan program pasar percuma di sini pada Sabtu bagi membantu mangsa banjir terutama golongan kurang berkemampuan mendapatkan pelbagai barangan keperluan tanpa sebarang bayaran.

Penganjur ‘Pasor Percuma Ganu Kite!’ Mohd Nazri Nainy berkata, program di Sekolah Kebangsaan (SK) Mengabang Telipot itu bagi membantu penduduk sekitar yang rata-ratanya nelayan dengan rumah mereka bukan sahaja dinaiki air bahkan diancam hakisan pantai dalam bencana akhir tahun lepas.

‘Pasor Percuma Ganu Kite!’ merupakan anjuran kali ke-35 diadakan sejak 2018 dengan dibanjiri kira-kira 2,000 pengunjung yang hadir bagi mendapatkan barangan secara percuma. Foto Bernama
‘Pasor Percuma Ganu Kite!’ merupakan anjuran kali ke-35 diadakan sejak 2018 dengan dibanjiri kira-kira 2,000 pengunjung yang hadir bagi mendapatkan barangan secara percuma. Foto Bernama

Beliau berkata, kira-kira 200 penyumbang terlibat dengan bantuan bukan hanya diberikan dalam bentuk barangan tetapi termasuk sumbangan tunai sebanyak RM10,000 yang membolehkan pihaknya menyediakan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak untuk diagihkan kepada penduduk.

"Kita dapat lihat program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran sekitar 2,000 pengunjung dan ada yang sudah menunggu seawal 8 pagi walaupun pintu pagar sekolah ini dibuka pada 10 pagi,” katanya ketika ditemui di SK Mengabang Telipot, di sini pada Sabtu.

Mohd Nazri berkata, program ini turut menawarkan pakaian, perkakas rumah, mainan kanak-kanak dan buku sekolah secara percuma kepada pengunjung dengan ‘Pasor Percuma Ganu Kite!’ pada hari ini merupakan kali ke-35 dianjurkan sejak 2018.

Program 'Pasor Percuma Ganu Kite!' kali ke 35 di Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, dapat membantu meringankan beban mangsa banjir. Foto Bernama
Program 'Pasor Percuma Ganu Kite!' kali ke 35 di Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, dapat membantu meringankan beban mangsa banjir. Foto Bernama

Sementara itu, seorang penduduk Daud Mohd, 62, berkata, program berkenaan dapat membantu meringankan bebannya setelah rumahnya di Kampung Gong Datuk di sini dilanda banjir bulan lepas, sehingga barangan seperti perkakas elektrik musnah.

Beliau berkata, pasar percuma pada Sabtu diadakan tepat pada waktunya kerana selain kerugian harta benda akibat banjir, nelayan pantai sepertinya juga masih tidak dapat turun ke laut sepanjang musim tengkujuh ini.

Artikel Berkaitan:

"Mujur ada program seperti ini membolehkan saya ambil barangan seperti beras kerana sepanjang musim tengkujuh, nelayan pantai tiada pendapatan. Banjir tempoh hari juga menyebabkan jala dan bot fiber saya rosak teruk,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!