'Jangan biar haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya' - Mat Sabu

Mohamad (kiri) membuat lawatan ke Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di sini pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohamad (kiri) membuat lawatan ke Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di sini pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pengusaha ternakan digesa mengawal haiwan daripada berkeliaran di jalan raya berikutan laporan kes kemalangan tinggi terutama membabitkan kematian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan memandang serius isu ternakan berkeliaran yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Jelas beliau, mana-mana penternak yang masih berdegil boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan telah ditetapkan.

"Kita berharap penternak jangan melepaskan haiwan mereka seperti tahun 60-an dulu walaupun di jalan kampung kerana pada masa ini terlalu banyak kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Lawatan ke Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini pada Sabtu.

Mohamad memberitahu, penternak boleh melepaskan haiwan ternakan di kawasan ladang yang dikawal supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Contohnya, mereka boleh menternak di ladang sawit yang berpagar elektrik dan jika haiwan cuba melepasinya, mungkin kena renjatan dan sebagainya," ujarnya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, seramai 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!