Boleh naik harga tambang, tetapi bersyarat
SHAH ALAM - Pengusaha bas sekolah perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa sekiranya mahu menaikkan harga tambang dalam masa terdekat ini.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan bagaimanapun berpandangan, kadar tambang boleh dinaikkan sekiranya pengusaha bas sekolah memenuhi beberapa syarat.
“Jika perlu sangat-sangat (naikkan harga), pengusaha bas sekolah kena berbincang secara empat penjuru antara ibu bapa, pihak sekolah, pengusaha dan Kementerian Pengangkutan.
“Jika dipersetujui bersama dan kenaikan itu tidak membebankan ibu bapa, saya rasa tidak ada halangan untuk naikkan tambang. Tapi paling maksimum pun, tidak lebih daripada 10 peratus.
“Syarat lain, pengusaha perlu meningkatkan mutu perkhidmatan seperti tahap keselamatan, keselesaan, kesediaan bas sekolah dan banyak lagi,” katanya.
Mohamad Ali bagaimanapun tidak bersetuju sekiranya kadar tambang dinaikkan dalam masa terdekat ini.
“Sebenarnya kita tidak boleh nak meningkatkan apa sahaja kos sewenang-wenangnya memandangkan situasi ekonomi semasa yang tidak mengizinkan.
“Kenaikan akan membebankan ibu bapa dalam kalangan B40 dan M40. Jadi, kita berharap mereka prihatin terhadap situasi semasa serta fikir masak-masak,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 di sini, Haidzir Sham Masngat berkata, peningkatan harga tambang bas akan lebih membebankan ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah.
“Walaupun kita tahu akan ada kenaikan gaji, tetapi ia hanya kepada kakitangan awam. Bagaimana pula dengan ibu bapa yang berada di sektor swasta?
“Ini tidak adil dalam keadaan ekonomi kita yang baru nak pulih, langkah kerajaan tersebut tidak memihak kepada ibu bapa. Jadi kenaikan tambang itu kurang sesuai dan kurang wajar,” katanya.
Beliau juga meminta pengusaha bas mendengar keluhan ibu bapa terlebih dahulu sebelum menetapkan sebarang kenaikan harga tambang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!