Tiga kru kapal Indonesia positif Covid-19

Tiga anak kapal persiaran Diamond Princess warga Indonesia disahkan positif Covid-19. - Foto: Agensi
Tiga anak kapal persiaran Diamond Princess warga Indonesia disahkan positif Covid-19. - Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Sekurang-kurangnya tiga kru Indonesia dalam kapal persiaran Diamond Princess yang dikuarantin di Jepun disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Menurut laporan Jakarta Post, perkara itu disahkan Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi kepada pemberita di ibu negara hari ini.

"Berdasarkan komunikasi terakhir saya dengan Duta Jepun di Jakarta, kami mendapat maklumat bahawa tiga daripada 78 anak kapal Indonesia di atas kapal tersebut disahkan dijangkiti virus," katanya.

Retno berkata, dua daripada tiga anak kapal itu telah dibawa ke sebuah hospital di Chiba manakala seorang lagi akan dihantar ke hospital tidak lama lagi.

Pasukan dari Kedutaan Indonesia di Tokyo telah pergi ke Chiba untuk memastikan rakyat Indonesia menerima rawatan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa Jepun.

"Kami juga telah menghubungi keluarga tiga kru kapal terbabit," katanya.

Diamond Princess yang pada mulanya membawa 3,711 orang dikuarantin di Yokohama sejak minggu lalu selepas seorang penumpang yang turun di Hong Kong disahkan positif Covid-19.

Setakat hari ini, Jepun mengesahkan seramai 446 orang diuji positif wabak tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: