'Pas mahu selamatkan negara'

Kamaruzaman. Foto: Asril Aswandi.
Kamaruzaman. Foto: Asril Aswandi.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mempunyai hala tuju jelas dan konsisten dalam perjuangan ke arah pembentukan sebuah kerajaan harmoni walaupun menjadi pembangkang selama 60 tahun.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, beliau yakin rakyat juga bersetuju dengan pandangannya bahawa kerajaan kini jauh lebih buruk daripada kerajaan sebelumnya, sementelahan lagi ada pihak yang seperti tidak sabar hendak menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, katanya, Pas melihat sangat wajar untuk menyelamatkan negara pada hari ini daripada terus mengalami keadaan tidak menentu yang dilihat semakin buruk.

"Pas mengambil beberapa langkah yang kita kira sangat strategik untuk menjaga keselamatan dan keharmonian negara. Contohnya, Pas menyebut mengenai unsur undi percaya kepada Perdana Menteri.

"Apabila kita mendapat ura-ura berita bahawa ada setengah pihak yang mungkin tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri, ada khabar mengatakan ada pihak mahu membawa usul tidak percaya.

"Bagaimana sebuah negara hendak stabil dalam keadaan yang tidak menentu kepimpinannya. Kalau dibiarkan khabar angin ini berterusan, maka pelabur akan lari. Keyakinan orang luar akan memburuk dan keyakinan rakyat sendiri terhadap kerajaan juga menjadi semakin tidak menentu, sebab kerajaan ini hendak berebut menjadi Perdana Menteri," katanya pada program Sinar Live dengan tajuk 'Kerajaan pintu belakang, apa kata Pas' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian di sini hari ini.

Kamaruzaman (kiri) pada program Sinar Live dengan tajuk 'Kerajaan pintu belakang, apa kata Pas' di Shah Alam hari ini.
Kamaruzaman (kiri) pada program Sinar Live dengan tajuk 'Kerajaan pintu belakang, apa kata Pas' di Shah Alam hari ini.

Kamaruzaman berkata, demi menjaga kestabilan negara Pas keluar dengan satu gerakan iaitu bercadang untuk membawa usul persendirian iaitu usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan buat usul persendirian percaya kepada Perdana Menteri untuk mengembalikan semula kestabilan negara.

"Ini supaya pihak-pihak yang tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri boleh sabar dan cuba bekerja untuk keharmonian negara, bukan fikir siang malam untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.

Kamaruzaman dengan tegas menafikan tanggapan mana-mana pihak yang mengatakan Pas hilang hala tuju bahkan parti tersebut sedang bekerja untuk keharmonian dan keselamatan negara.

Dalam pada itu katanya, kerajaan sebelum ini mungkin ada cacat celanya kerana tidak mungkin wujud sebuah kerajaan 'sempurna' tetapi keadaan hari ini jauh berbeza.