Penduduk demonstrasi tuntut penghulu letak jawatan kerana curang

JAKARTA - Ratusan penduduk warga Koroulon Kidul, Bimomartani, Ngemplak, Kabupaten Sleman pada Isnin mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat penghulu bagi menuntut supaya pemimpin itu meletakkan jawatan.
Media tempatan melaporkan, penghulu Koroulon Kidul, Tri Mulyanto dipercayai terlibat dalam insiden yang dianggap mencemar nama baik institusi penghulu selepas dia didakwa berlaku curang terhadap isterinya.
"Kami menuntut agar tok penghulu segera dipecat.
"Kecurangan sudah lama terjadi lebih kurang 8 bulan, kami sudah memberikan teguran tetapi tidak diendahkan olehnya," kata Purwanto, salah seorang peserta demonstrasi kepada wartawan pada Selasa.
Dalam pada itu, tuntutan supaya dia meletakkan jawatan juga berpunca daripada prestasi kerjanya yang dianggap tidak memuaskan.
Pada demonstrasi tersebut, penduduk turut membawa sepanduk mendesak peletakan jawatan Tri Mulyanto, selain kecaman terhadap kegagalan pentadbirannyaa.
Demonstrasi berjaya dileraikan selepas wakil pejabat menerima memorandum daripada pihak yang terlibat.
Bagaimanapun kelibat Tri Mulyanto tidak kelihatan pada hari kejadian.
Penduduk juga berjanji akan mengadakan demonstrasi selagi mana tuntutan mereka tidak direalisasikan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

