TH pindah milik empat hotel kerana tiada keuntungan: Tun M

Dr Mahathir bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Puspanitapuri hari ini. -FOTO: BERNAMA
Dr Mahathir bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Puspanitapuri hari ini. -FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Tabung Haji (TH) memindah milik empat rangkaian hotel kepada anak syarikat milik Kementerian Kewangan dilakukan kerana terdapat beberapa aset milik mereka tidak mendatangkan keuntungan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu perlu diambil bagi memperoleh pulangan lain.

"Sesetengah aset tidak memberikan keuntungan. Jadi ia perlu dikeluarkan.

"Tetapi ada beberapa cara untuk melabur duit tersebut agar dapat memberikan pulangan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Dewan Seri Endon Puspanitapuri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan TH memindah milik empat rangkaian hotel kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) akan diteruskan di bawah UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) iaitu anak syarikat milikan penuh pengurusan baharu itu.

Malam tadi, tular di media sosial berhubung sepucuk surat bertarikh 17 Februari 2020 daripada TH Hotel & Residences Sdn Bhd (THHR) mengenai penutupan operasi empat hotel berkenaan.

Susulan itu, TH dan UJ dalam kenyataan bersama hari ini berkata, empat hotel yang terbabit iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu itu juga kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Hotel Raia mulai 1 April ini.

Kenyataan itu turut memberitahu operasi keempat-empat hotel itu diteruskan dan tiada pekerja yang diberhentikan.

ARTIKEL BERKAITAN 29 aset rugi TH dipindahkan ke SPV termasuk empat hotel tular

Artikel Berkaitan: