Cubaan sembunyi dadah dalam tanah gagal

Roslee (tengah) menunjukkan beg yang menyimpan dadah jenis methamphetamine yang disimpan di dalam lubang yang ditimbus tanah oleh suspek.
Roslee (tengah) menunjukkan beg yang menyimpan dadah jenis methamphetamine yang disimpan di dalam lubang yang ditimbus tanah oleh suspek.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan licik seorang lelaki disyaki pengedar dadah menyembunyikan dadah dalam sebuah lubang di bilik penyimpanan barang sebuah rumah terbongkar setelah kediaman itu diserbu pihak berkuasa semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, suspek yang berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Kuing, Seberang Takir bersama 2,025 biji pil kuda bernilai RM20,250.

Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner Datuk Roslee Chik berkata, suspek yang mempunyai empat anak berusia tiga hingga 11 tahun itu ditahan sebaik menghentikan motosikal yang ditunggang di hadapan rumah itu.

"Pemeriksaan pada tubuh suspek menemui 10 biji pil berwarna merah disyaki dadah selain satu tiub penyedut cerah berangkai (15) di mana setiap rangkai berisi sebiji pil disyaki dadah.

"Siasatan awal di dalam stor di belakang rumah itu membawa kepada penemuan 1,980 pil berwarna merah dan 20 biji pil berwarna hijau yang diletakkan di dalam sebuah beg yang ditimbus di bawah tanah yang ditunjukkan oleh suspek.

"Jumlah keseluruhan rampasan ialah 2,025 biji pil disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 204.72 gram," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek bersama barang kes kemudiannya dibawa ke Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 23 Februari depan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan pil kuda yang dijual pada harga RM10 sebiji mengikut harga pasaran semasa itu cuba diedarkan di negeri ini," katanya.