Tiada rancangan tutup hotel TH, kata Kadir Jasin

Kadir Jasin
Kadir Jasin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tiada rancangan untuk menutup empat hotel Tabung Haji (TH), sebaliknya rangkaian hotel itu akan terus beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

Menurut Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, hotel terbabit akan melalui proses penjenamaan semula daripada TH Hotel kepada Hotel Raia dan operasinya tetap patuh syariah.

Beliau berkata, kebanyakan daripada 278 kakitangan dikekalkan manakala bakinya ditawarkan kepada jawatan lain.

“Seperti kita sudah maklum, TH telah menjual hotel terbabit kepada UJSB yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan dan diwujudkan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan dan penstrukturan semula TH tahun lalu.

“Sejak mengambil alih hotel-hotel berkenaan, UJSB telah menyediakan modal baru bagi menambah baik kemudahan sedia ada demi manfaat dan keselesaan pelanggan.

“Tidak ada kakitangan akan diberhentikan, sebaliknya 90 peratus akan terus bekerja dengan rangkaian hotel baharu ini manakala baki 10 peratus akan ditawarkan pekerjaan di TH Kelana Jaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, 90 peratus kakitangan terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang mereka berikan sepanjang berkhidmat di TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR).

Empat hotel terlibat adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang sebelum ini diuruskan oleh THHR.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, laporan berhubung penutupan empat hotel terbabit adalah fitnah yang dibuat oleh jentera propaganda pembangkang.

“Masalah dengan jentera propaganda pembangkang ini, khususnya yang memegang jawatan parti, mereka suka mengelirukan rakyat jelata dengan mencipta dan menyebarkan berita palsu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas tuntut penjelasan kerajaan empat hotel TH ditutup: Tuan Ibrahim