Bekas Ketua Bahagian UMNO antara 28 calon rebut ketua bahagian

Akramsyah, Muzzammil dan Mohd Suhaimi.
Akramsyah, Muzzammil dan Mohd Suhaimi.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Bekas Ketua Bahagian UMNO Jerai, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah antara 28 calon daripada sembilan bahagian yang bakal merebut jawatan ketua bahagian pada pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk A Aziz Mahamod berkata, enam ketua bahagian diumumkan menang tanpa bertanding setelah tiada pencabar, iaitu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Langkawi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Ketua Bahagian Bersatu Jerlun); Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (Ketua Bahagian Bersatu Kubang Pasu); Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat (Alor Setar); Abdul Razak Khamis (Pendang) serta Datuk Azimi Daim (Kulim/Bandar Baharu).

Menurutnya, usahawan Datuk Jawiyah Che Dan menjadi calon wanita tunggal berdepan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Bahagian Padang Terap, menentang penyandangnya, Syed Fadzil Syed Embun serta Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Muzzammil Ismail yang turut bertanding jawatan Ketua Armada Nasional.

“Persidangan yang pertama bermula Sabtu lalu, iaitu Bahagian Sik yang menyaksikan penyandang ketua bahagiannya, Mohd Nazri Abu Hassan mengekal jawatannya, selepas dicabar Mat Sabri Hamid,” katanya ketika ditemui di Pejabat Bersatu Kedah.

A Aziz berkata, lapan bahagian lagi bakal bersidang sehingga 29 Mac depan, iaitu di Pokok Sena, Jerai, Baling, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Terap dan Padang Serai.

“Seramai 26 calon layak bertanding merebut jawatan ketua bahagian di lapan bahagian ini. Wujud pertembungan antara dua hingga lima calon, di mana untuk jawatan Ketua Bahagian Bersatu Merbok dan Kuala Kedah menyaksikan pertandingan lima penjuru,” katanya.

Menurutnya, antara bahagian yang menjadi tumpuan adalah Jerai, apabila Mohd Suhaimi bakal mencabar penyandangnya, Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

“Seramai empat calon menawarkan diri bertanding Ketua Bahagian Baling, tiga calon di Sungai Petani dan masing-masing dua calon di Pokok Sena dan Padang Serai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

A Aziz berkata, pada pemilihan pertama kali diadakan ini, sebanyak 365 cawangan Bersatu di Kedah layak mengadakan mesyuarat.

“Antaranya, Bahagian Baling mempunyai cawangan terbanyak iaitu 63, diikuti Jerlun dan Kubang Pasu sebanyak 35 cawangan, Alor Setar 33 cawangan, Kulim Bandar Baharu (28), Langkawi dan Jerai (24), Pendang (22), Kuala Kedah (21) serta Pokok Sena (20),” katanya.

Sementara itu, A. Aziz mengakui terdapat beberapa masalah dihadapi pihaknya pada pemilihan pertama parti itu, antaranya berlaku keciciran ahli, calon tidak layak bertanding serta ahli bertukar bahagian.

“Namun, kita berharap semasa pemilihan semuanya lancar, tidak berlaku insiden tidak diingini seperti baling kerusi atau mengeluarkan kata-kata kesat, jangan cemarkan nama baik parti.” katanya.