X

Kindly register in order to view this article
!

JPS mohon peruntukan tambahan atasi banjir kilat: ADUN Bandar Utama

Projek pecah batu dan pembersihan Sungai Kayu Ara bagi mengatasi isu banjir kilat di Kampung Chempaka.
A
A

PETALING - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah memohon peruntukan tambahan bagi membolehkan projek naik taraf sungai bagi fasa seterusnya dilakukan untuk mengatasi banjir kilat di Kampung Chempaka PJU1.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin yang turut memberitahu JPS telah pun menyelesaikan projek penyelenggaraan sungai yang dijalankan sebelum ini pada Disember lalu.

Menurutnya, peruntukan untuk projek terbaharu itu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang yang memerlukan penyelenggaraan dan naik taraf dalam skala besar dilakukan.

"Perkara itu difahamkan sudah di dalam perhatian dan dijangka keputusannya akan diketahui tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Bandar Utama hari ini.

Terdahulu katanya, projek penyelenggaraan sungai sebelum ini menumpukan kepada kerja-kerja memecahkan batu yang menghalang kelancaran air bagi mengurangkan limpahan air yang menjadi punca banjir kilat di kawasan terlibat.

Menurutnya, projek menelan kos hampir RM300,000 itu dijalankan di pertengahan Sungai Kayu Ara berhampiran Jalan SS25/23 Kampung Chempaka.

"Projek yang mengambil masa selama lapan minggu itu juga turut melibatkan penggorekan mendapan pasir dan pembersihan sampah terperangkap yang turut mengganggu kelancaran air.

"Langkah ini dapat mengurangkan risiko banjir kilat dan membolehkan sungai berfungsi di tahap maksimum khususnya pada musim hujan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!