Infusi plasma darah pesakit sembuh berkesan rawat Covid-19?

Plasma individu yang sembuh mengandungi antibodi boleh mengurangkan virus dalam tubuh pesakit kritikal. - Foto AFP
Plasma individu yang sembuh mengandungi antibodi boleh mengurangkan virus dalam tubuh pesakit kritikal. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Pihak berkuasa kesihatan China hari ini menggesa individu yang sudah sembuh daripada jangkitan koronavirus (Covid-19) untuk menderma darah bagi membolehkan plasma diekstrak dan digunakan merawat pesakit kritikal lain.

Gesaan itu dibuat ketika pelbagai pihak sedang berhempas pulas untuk menghasilkan vaksin bagi tujuan rawatan epidemik tersebut yang menyebabkan 1,770 kematian dan lebih 70,500 dijangkiti di seluruh China.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) memaklumkan, plasma daripada individu yang sembuh daripada penyakit pneumonia akibat serangan Covid-19 mengandungi antibodi yang boleh membantu mengurangkan virus dalam tubuh pesakit kritikal.

"Saya merayu kepada kesemua individu terbabit untuk menderma plasma mereka bagi memberi harapan baharu kepada pesakit," kata Ketua Jabatan Perubatan NHC, Guo Yanhong.

Sementara itu, jurucakap Pusat Biologi di Kementerian Sains dan Teknologi, Sun Yanrong berkata, 11 pesakit di hospital Wuhan menerima infusi plasma darah pada minggu lalu.

"Salah seorang daripada mereka sudah dibenarkan keluar dari hospital manakala seorang lagi kini sudah boleh bangun dari katil dan berjalan. Kajian klinikal menunjukkan prosedur itu adalah selamat dan berkesan," ujarnya.

Difahamkan, penderma darah bagaimanapun perlu menjalani ujian untuk memastikan mereka tidak membawa virus tersebut.

Terdahulu, pembuat produk perubatan, China National Biotec Group Co menerusi akaun WeChat mengesahkan beberapa pesakit menunjukkan perubahan dalam tempoh 24 jam selepas menerima infusi plasma darah. - AFP

Artikel Berkaitan: