X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan sorok jenayah di sekolah

Roslee (tengah) bersama sebahagian warga Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah selepas merasmikan Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke Sekolah Tahun 2020 Peringkat Kontinjen Terengganu dan Pelancaran Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengurusan sekolah di Terengganu perlu bekerjasama dengan polis untuk melaporkan maklumat berkaitan jenayah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Mereka juga diingatkan tidak menyembunyikan jenayah yang berlaku bagi menjaga nama baik sekolah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, menyembunyikan kes di sekolah sudah tidak relevan lagi pada masa kini kerana menyukarkan polis melakukan siasatan dan kejadian juga akan diketahui jika tular di media sosial.

"Pihak sekolah perlu berterus terang mengenai kegiatan jenayah supaya kita dapat ambil tindakan.

"Menyembunyikan kejadian juga menyukarkan polis menjalankan siasatan kerana kami mungkin akan berdepan masalah mencari saksi atau saksi mungkin sudah lupa kejadian sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke Sekolah Tahun 2020 Peringkat Kontinjen Terengganu dan Pelancaran Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah di sini hari ini.

Roslee berkata, jenayah melibatkan pelajar sekolah di Terengganu mencatatkan penurunan tahun lalu iaitu 42 kes berbanding dalam tempoh sama tahun 2018 iaitu 88 kes.

"Kesalahan ini termasuk jenayah seksual iaitu rogol berkumpulan, ugutan jenayah, buli dan jenayah narkotik terutama pengambilan pil kuda," katanya.

Roslee turut meminta semua PPS terdiri daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilantik supaya lebih kerap turun ke sekolah bagi mengenal pasti masalah dihadapi.

Beliau juga menasihatkan pelajar terutama mangsa buli supaya tidak takut membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!