Aura penyokong barakan semangat pemain TRW

Muhammad Nasir (dua dari kiri) dan Wan Rakemi (empat dari kanan) bersama penyokong setia TRW yang hadir pada Majlis Memperkenalkan Pemain TRW 2020 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam Sabtu lalu. - Foto Kelantan FA
Muhammad Nasir (dua dari kiri) dan Wan Rakemi (empat dari kanan) bersama penyokong setia TRW yang hadir pada Majlis Memperkenalkan Pemain TRW 2020 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam Sabtu lalu. - Foto Kelantan FA
A
A
A

KEJAYAAN mengumpulkan RM100,000 dalam dua aksi persahabatan berdepan Kedah dan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Muhammad IV nyata menggambarkan keterujaan penyokong bola sepak Kelantan yang mahu menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) kembali muncul pasukan digeruni dalam arena bola sepak negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kutipan itu secara keseluruhannya menggambarkan Kelantan memiliki penyokong setia dan terkenal di negara ini.

Katanya, menyedari perkara berkenaan, pihak pentadbiran KAFA cuba mendekati semula penyokong (setelah kemerosotan prestasi skuad Gomo Kelate Gomo itu musim lalu) menerusi tawaran (aktiviti) yang menarik.

“Kita mempunyai penyokong di peringkat akar umbi yang tidak boleh ditandingi oleh negeri lain di seluruh negara. Sebagai contoh dalam perlawanan pra musim yang diadakan mulai Disember hingga Januari, pernah kita dapat kutipan tiket RM100,000.

“Ini buktikan sokongan rakyat Kelantan terhadap TRW,” katanya kepada Sukan Sinar sempena Majlis Memperkenalkan Pemain TRW 2020 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam Sabtu lalu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Pengerusi Majlis Penasihat KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengurus TRW, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, Yusri Che Lah (ketua jurulatih) serta kesebelasan pemain.

Wan Abdul Rahim
Wan Abdul Rahim

Pada majlis berkenaan, Wan Abdul Rahim turut mengumumkan mengenai pelancaran kad semusim serta jersi baharu TRW yang dijadualkan berlangsung di Dataran Sultan Muhammad IV pada 22 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Abdul Rahim, majlis berkenaan kemudiannya akan diakhiri dengan aksi pra musim terakhir antara TRW menentang Pahang.

“Setakat ini memang lawan kita adalah Pahang, tetapi jika Pahang tidak dapat sertai (perlawanan persahabatan) kita akan adakan perlawanan dengan pasukan dari selatan Thailand,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong TRW Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi berharap penyokong Kelantan di seluruh negara dapat hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan kepada pasukan setiap kali perlawanan.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Gabungan Kelab-Kelab Penyokong Kelantan Seluruh Malaysia (Gempita) percaya kehadiran penyokong dapat memberikan semangat kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik.