Hegemoni politik DAP

A
A
A

SISTEM pentadbiran negara adalah berasaskan 'westminster' United Kingdom yang diadunkan bersama sejarah tamadun Melayu yang merangkumi kuasa tradisional kesultanan Melayu negeri-negeri yang berakar umbi sejak sekian lama.

Justeru, dalam sistem pentadbiran negara ini kita mempunyai dua peringkat sistem pentadbiran iaitu peringkat negeri dan Persekutuan. Kedua-dua peringkat ini mempunyai sistem perwakilan daripada rakyat melalui pilihan raya dan unsur ketamadunan Melayu melalui Sultan dan Yang di-Pertuan Agong.

Usaha kerajaan untuk membuat beberapa perubahan struktural dalam sistem demokrasi negara membabitkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Parlimen dicurigai sebagai usaha mengukuhkan hegemoni atau dominasi parti DAP dalam politik negara.

Negara pernah memperkenalkan pilihan raya PBT, namun dimansuhkan kerana tidak serasi dengan kepentingan masyarakat bumiputera dan kedudukan Islam. Ini kerana partisipasi dalam pilihan raya ini tidak mencerminkan kepentingan masyarakat asal negara ini terutama orang Melayu.

Ada yang menyatakan alasan ini bersifat perkauman dan prejudis, namun itulah realiti politik negara yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama. Kegagalan sebahagian masyarakat menyerap dan berasimilasi dalam budaya tempatan menyebabkan perbezaan antara kaum dan agama ini akan terus menjadi pertimbangan politik.

Kuasa

Ketika ini PBT bahagian ketiga sistem pentadbiran negara telah diurus dan diawasi Kerajaan Negeri yang dibentuk melalui pilihan raya umum. Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam pelantikan dan pengurusan pihak berkuasa tempatan termasuk Yang Di Pertua atau Datuk Bandar dan Ahli Majlis.

Sistem ini sepatutnya sudah mencukupi untuk mewakili suara rakyat termasuk di bandar. Sudah tentu apa sahaja sistem semak dan imbang yang lebih meluas seperti pilihan raya PBT baik untuk rakyat, namun kemampuan melaksanakan dan keberkesanannya juga perlu dilihat.

Sebahagian wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan pemuliharaan kawasan perbandaran akan digunakan untuk pilihan raya PBT. Pastinya untuk menampung peningkatan kos ini, PBT akan menaikkan kadar cukai dan kompaun.

Artikel Berkaitan:

Pilihan raya PBT adalah perjuangan DAP sejak dahulu kerana di sinilah kekuatan sebenar mereka yang terdiri daripada masyarakat Cina kawasan perbandaran.

Kebimbangan masyarakat Islam, penguasaan wakil-wakil bukan Islam dalam majlis perbandaran akan mengubah polisi perbandaran dalam perumahan, prasarana awam, kompleks perniagaan, pembinaan rumah ibadat, tanah perkuburan dan taman awam.

Usaha DAP tidak terhenti setakat itu. Kini muncul pula cadangan untuk mengubah sistem pilihan raya umum melalui Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC).

ERC mencadangkan Pilihan Raya Umum (PRU) di Semenanjung Malaysia menggunakan Sistem perwakilan berkadar (PR) berbanding sistem pemenang undi terbanyak (FPTP) sekarang. Melalui sistem ini kerusi Parlimen di Semenanjung tidak lagi ditentukan oleh pengundi sesuatu kawasan tetapi mengikut Parti.

Setiap parti akan diagihkan kerusi Parlimen mengikut peratusan undi yang diterima oleh sesebuah parti. Ini bermakna kuasa menentukan ahli Parlimen tidak lagi melalui proses semak dan imbang antara parti dan rakyat tetapi lebih menjurus kepada parti sahaja. Kesetiaan Ahli Parlimen bukan lagi kepada rakyat tetapi kepada penguasa parti.

Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali menegaskan pelaksanaan sistem PR hanya bertujuan mengukuhkan kedudukan DAP dan memberi beberapa kesan negatif terhadap landskap politik negara.

"DAP adalah parti yang paling banyak akan mendapat kerusi di Parlimen berbanding parti lain, pengundi mereka di bandar dan di negeri yang banyak kerusi bukan Melayu."

Tampaknya ketika pemimpin Melayu sedang bertelagah siapa calon Perdana Menteri akan datang, DAP sudah merangka rancangan jangka panjang mengukuhkan hegemoni politik mereka.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)