Durakovic akui penyudah Eky semakin tajam

Shahrel Fikri berusaha melepasi pertahanan Kedah, Renan Alves pada saingan Unity Shield di Stadium Perak. - Foto Perak FA
Shahrel Fikri berusaha melepasi pertahanan Kedah, Renan Alves pada saingan Unity Shield di Stadium Perak. - Foto Perak FA
A
A
A

AKSI cemerlang penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada aksi Unity Shield 2020 kelmarin nyata menggembirakan Ketua Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic.

Durakovic berkata, aksi cemerlang Muhammad Shahrel Fikri yang lebih dikenali Eky itu secara keseluruhannya membuktikan pemain berkenaan semakin berbisa di hadapan gawang lawan.

Justeru menurut Durakovic, kecemerlangan pemain berusia 25 tahun itu diharap berterusan dan sekali gus membentuk gandingan penggempur yang digeruni bersama penyerang import, Guilherme De Paula musim ini.

“Bagi saya, Shahrel Fikri semakin bijak, semakin kuat, semakin tajam di depan gawang lawan, selain berjaya membentuk keserasian bersama rakan sepasukan.

“Dia menjaringkan gol pada perlawanan persahabatan pra musim kami di Singapura dan malam tadi (kelmarin), dia juga menjaringkan gol. Dia semakin menunjukkan peningkatan dalam permainannya.

“Sebenarnya bukan dia (Shahrel Fikri) sahaja, tetapi semua pemain Perak. Kita ada pasukan yang besar kali ini dengan semua pemain sentiasa bekerja keras dan saya memang berbangga dengan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pemain Perak meraikan kejayaan menjuarai kejuaraan Unity Shield 2020 selepas menumpaskan Kedah 3-1 di Stadium Perak.
Pemain Perak meraikan kejayaan menjuarai kejuaraan Unity Shield 2020 selepas menumpaskan Kedah 3-1 di Stadium Perak.

Durakovic berkata demikian ketika mengulas prestasi pemain itu selepas perlawanan yang menyaksikan Perak menjulang trofi Unity Shield setelah menewaskan juara bertahan Kedah 3-1.

Artikel Berkaitan:

Gol tuan rumah dijaringkan Kapten The Bos Gaurus, Shahrul Mohd Saad pada minit keempat diikuti Muhammad Shahrel Fikri (min-42) dan Careca (min-77) manakala pemain import Lang Merah, Kpah Sherman menjaringkan gol saguhati pelawat pada minit ke-68.

Untuk rekod, Kedah menewaskan Perak 2-0 pada edisi sulung Unity Shield di Stadium Darul Aman pada 2019.

Sementara itu, Durakovic mengakui gembira apabila menyaksikan anak didiknya muncul juara kejohanan edisi kedua berkenaan kali ini.

Katanya, pujian perlu diberikan kepada kesebelasan skuad The Bos Gaurus itu kerana telah bekerja keras sepanjang perlawanan bagi mengekang asakan pelawat, selain turut menyaksikan jentera serangan Kejor Yeop Skor itu berjaya merobek gawang skuad Lang Merah.

“Saya sungguh gembira dengan persembahan semua pemain. Ini adalah trofi pertama untuk Perak musim ini dan ia adalah hasil kerja keras pemain.

“Dari awal perlawanan hingga ke wisel penamat, pemain telah bekerja keras dan percaturan kita menjadi pada perlawanan ini," katanya.

“Secara keseluruhannya, perlawanan ini adalah perlawanan yang baik. Kedah adalah pasukan yang sangat bagus, tetapi malam tadi (kelmarin), Perak pula yang berjaya ‘bermain bola’ dengan lebih baik,” katanya.