Pemberontak Sudan Selatan tolak tawaran damai

Kiir (kiri) dan Machar berdepan tekanan antarabangsa untuk menyelesaikan krisis mereka menjelang tarikh akhir pada 22 Februari ini. - Foto Agensi
Kiir (kiri) dan Machar berdepan tekanan antarabangsa untuk menyelesaikan krisis mereka menjelang tarikh akhir pada 22 Februari ini. - Foto Agensi
A
A
A

JUBA - Kumpulan pemberontak Sudan Selatan hari ini menolak tawaran damai dikemukakan Presiden Salva Kiir untuk kembali kepada sistem 10 negeri yang akan membuka jalan kepada pembentukan kerajaan perpaduan.

Penolakan dibuat ketua pemberontak yang juga bekas Naib Presiden, Riek Machar seakan memusnahkan harapan untuk menamatkan konflik berlarutan selama enam tahun di negara itu dan telah menyebabkan 380,000 maut manakala jutaan hidup dalam kancah kemiskinan.

Semalam, Kiir menyatakan negara itu kini akan dibahagikan kepada 10 negeri asal, tuntutan utama dibuat pembangkang termasuk tiga kawasan pentadbiran, Pibor, Abyei dan Ruweng yang kaya sumber minyak serta menjadi kawasan lokasi paling banyak pertempuran yang dituntut puak Dinka (penyokong Kiir) dan puak Nuer (penyokong Machar).

Machar bagaimanapun menolak cadangan tiga kawasan pentadbiran tersebut.

"Ia tidak boleh dirujuk sebagai kembali kepada 10 negeri. Cadangan itu sememangnya tidak boleh diterima.

"Oleh itu, kami meminta Presiden mempertimbangkan semula idea untuk menubuhkan kawasan pentadbiran tersebut," katanya yang turut memberi amaran tiga kawasan tersebut akan mencetuskan 'pandora's box' atau lebih banyak masalah pada masa depan.

Kiir dan Machar yang hidup dalam buangan kini berada di bawah tekanan antarabangsa untuk menyelesaikan perbalahan antara mereka menjelang tarikh akhir pada 22 Februari ini.

Difahamkan, Sudan Selatan mempunyai 10 negeri seperti dinyatakan dalam Perlembagaan selepas ia memperoleh kemerdekaan daripada Sudan pada 2011.

Artikel Berkaitan:

Pada 2015, jumlah negeri tersebut diumumkan sebanyak 28 sebelum Kiir menambah kepada 32 dan kini beliau mengurangkan semula kepada 10 ditambah tiga kawasan pentadbiran.

Lewat semalam, beliau turut mengeluarkan surat pelepasan jawatan kepada kesemua gabenor 32 negeri terbabit. - AFP