Langkah interim BNM, berita baik untuk rakyat - Tze Tzin

SHAH ALAM - Langkah interim Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengurangkan beban kewangan pemegang polisi insurans termasuk kenaikan maksimum 10 peratus daripada tahun 2024 hingga 2026 disifatkan sebagai satu berita baik untuk rakyat.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, inisiatif tersebut turut merangkumi moratorium selama setahun kepada warga emas yang melanggan pelan minimum.
Ujar beliau, selain itu, polisi yang telah luput pada 2024 akibat pelarasan premium boleh diaktifkan semula dan penyediaan alternatif oleh pemegang polisi insurans serta takaful (ITO) untuk sesiapa ingin menukarkan pelan perkhidmatan mereka.
“Langkah tersebut benar-benar berita baik untuk semua pemegang polisi insurans dan rakyat.
“Kredit mesti diberikan kepada rakyat. Mereka berjuang dengan berani melalui media sosial, mengekalkan tekanan besar dan dengan menulis e-mel kepada ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya dalam hantaran di X pada Jumaat.
BNM pada Jumaat memaklumkan pihaknya melaksanakan dua langkah interim bagi mengurangkan beban kewangan pemegang polisi insurans, susulan kenaikan pembayaran premium.
Kata Tze Tzin, perubahan dan pembaharuan tersebut hanya boleh berlaku di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tze Tzin berkata, beliau akan memberi perhatian seterusnya pada caj melibatkan perkhidmatan hospital swasta.
“Sila email: http://aduan.pkr.hospital.insurans@gmail.com jika anda mempunyai aduan tentang caj hospital swasta.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada BNM kerana campur tangan dan memberikan penyelesaian yang bermakna ini.
“Akhir sekali, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengendali insurans dan takaful atas kompromi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

