Penguatkuasaan ketat perlu untuk cegah pemandu mabuk: Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye memuji keputusan kerajaan mengkaji semula Akta Pengangkutan Jalan untuk hukuman lebih berat susulan peningkatan insiden memandu ketika mabuk namun menegaskan bahawa langkah itu sahaja tidak akan berkesan tanpa penguatkuasaan yang ketat.

Beliau berkata, penguatkuasaan yang berintegriti juga harus dipertingkat untuk menghantar isyarat bahawa pihak berkuasa bersama-sama komuniti dalam usaha menangani masalah ini.

“Penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan bahawa 23 peratus kematian dalam nahas jalan raya adalah disebabkan memandu dalam keadaan mabuk.

"Memandangkan pemandu mabuk dari segi statistik lebih cenderung menyebabkan kemalangan, tidak hairanlah jika kita kerap mendengar berita mengenai kematian akibat memandu dalam keadaan mabuk,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye turut menggesa rakyat Malaysia agar menjadi masyarakat penyayang dan bertimbang rasa terhadap orang lain.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk meminda hukuman bagi pemandu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, serta memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dengan hukuman denda maksimum RM100,000.

Katanya, selain denda, hukuman penjara terhadap pesalah akan dinaikkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: