X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 300 'pendekar' serah memorandum mohon Agong campur tangan

Pengerusi Pertahan, Sahruddin Esa (dua dari kanan) bersama yang lain sebelum menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 300 peserta berhimpun di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Himpunan anjuran Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) itu bertujuan memohon campur tangan baginda berkaitan dakwaan penghinaan terhadap institusi Raja-raja, Melayu dan Islam.

Malaysiakini melaporkan seawal jam 8 pagi, peserta yang kebanyakannya mengenakan baju Melayu serta bertanjak seperti pendekar mula berhimpun dan bersiap sedia di hadapan masjid berkenaan.

Mereka juga kelihatan mengibarkan bendera dengan tulisan seperti 'Patuhi Rukun Negara', 'Komunis adalah Pengganas' dan 'Menjunjung Titah Tuanku'.

Sebelum ke Istana Negara, Timbalan Presiden Pembela, Masrizi Sad memaklumkan kepada peserta, bahawa tiada perarakan diadakan susulan tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Menurut Masrizi, memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Nazim Mohd Alim untuk disampaikan kepada Agong.

“Kita hantar memorandum kerana percubaan pihak tertentu yang jelas menolak kedaulatan Raja Melayu serta agama dan ini termasuk perkara dalam isu tulisan jawi dan komunis yang baru berlaku, jadi ini mengancam keselamatan negara,” katanya.

Ditanya sama memorandum yang sama akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Masrizi menjelaskan, bahawa pihaknya akan melihat keadaan dahulu.

"Kerajaan pun sekarang dalam keadaan tak tentu, mereka pun ada masalah sesama sendiri, bagaimana nak mengadu,” katanya lagi seperti dilaporkan portal atas talian tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan), Sahruddin Esa pula berkata, NGO-NGO terbabit juga sedang mengkaji kemungkinan menyerahkan satu lagi memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini kerana menurutnya, isu komunis yang ditimbulkan sebelum ini bermula di Kajang.

Beliau merujuk kepada dakwaan pertemuan membabitkan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) pada Disember tahun lalu di daerah berkenaan.

Hadir sama dalam himpunan hari ini ialah NGO dari Pertubuhan Kebajikan Islah Malaysia (Perkid) dan pelakon Ellie Suriaty Omar.