Cabaran Zii Jia di Hangzhou berakhir
[DIKEMAS KINI] IMPIAN komuniti badminton tempatan untuk melihat Lee Zii Jia meneruskan kemaraan pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China terhenti selepas pemain perseorangan lelaki negara itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan buku lali.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan A menentang pemain China, Li Shi Feng, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu mengungguli set pertama 22-20.
Zii Jia yang mendahului 15-11 pada set kedua bagaimanapun terpaksa menarik diri apabila mengalami kecederaan dipercayai berlaku pada kedudukan 13-5 dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Olimpik Hangzhou.
Sementara itu, TeamLZJ memaklumkan bahawa Zii Jia kini sedang menerima rawatan perubatan yang diperlukan pemain ranking kelapan dunia tersebut.
"Penyertaan Lee Zii Jia di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China malangnya telah berakhir kerana kecederaan buku lali kanan," kata kenyataan itu.
Anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah itu sebelum ini telah pun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menang dua aksi awal ke atas pemain Taiwan, Chou Tien-chen dan Anders Antonsen (Denmark) sebelum itu.
Kemenangan pemain berusia 26 tahun itu ke atas Tien-chen, straight set 21-13, 21-15 dalam tempoh 39 minit diikuti Antonsen, 21-14. 21-19 dalam masa 47 minit membuktikan keazaman tinggi pemain muda tersebut untuk membuktikan sesuatu di pentas yang menghimpunkan jagoan dunia berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!