Penjenayah dikehendaki polis ditembak mati
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang penarik kereta yang dikehendaki polis ditembak mati selepas berbalas tembakan di Jalan Jeram Pasu pada jam 5.30 pagi Jumaat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 31 tahun itu mempunyai 24 rekod lampau termasuk 17 kes jenayah dan tujuh kes berkaitan narkotik.
Menurut beliau, lelaki warga tempatan itu dikejar polis ketika operasi cegah jenayah di Melor sebelum suspek bertindak memecut kereta Perodua Bezza yang dipandunya.
Beliau memberitahu, sebaik tiba di lokasi kejadian, lelaki berkenaan bertindak agresif dengan keluar dari tempat duduk pemandu dan terus melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
"Lelaki itu terkena tembakan polis yang terpaksa mempertahankan diri. Pemeriksaan dilakukan suspek mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi berkenaan pada Jumaat.
Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam kereta dipandu suspek yang dipercayai berasal dari daerah ini menemukan sepucuk pistol semi auto, sepucuk pistol tiruan dan sebilah parang.
Katanya, turut ditemukan ialah satu bungkus tembakau dalam bentuk ketulan dipercayai akan diseludup masuk ke penjara.
"Polis juga akan melakukan siasatan jika ada suspek lain yang terlibat dalam kes berkenaan," katanya.
Mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!