Enam lelaki, tiga wanita didakwa jadi ahli Geng Yunaa

PETALING JAYA - Seramai enam lelaki dan tiga wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Yunaa, sejak tahun lalu.
Semua tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes termasuk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah kediaman servis, di sini antara Januari 2025 hingga 25 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail berkata, pertuduhan berkenaan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Beliau yang hadir bersama seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainaa Ridzwan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes.
Syahliza tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Disember depan.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, polis berjaya menumpaskan 'Geng Yunaa' yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks menerusi Ops Angel di Lembah Klang pada 24 hingga 26 September lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dalam operasi itu, tujuh individu berusia 18 hingga 44 tahun ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga Jumaat.
Beliau berkata, dua lagi ahli kumpulan itu ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan sama.
Beliau berkata, tangkapan itu membolehkan polis menyelesaikan 17 kes serta melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang di Selangor.
MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

