'Terima kasih penyumbang dan sukarelawan'

Mohamed Fadzli (tengah) membuka penutup lori sebagai simbolik menerima bantuan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan IFE pada Selasa.
Mohamed Fadzli (tengah) membuka penutup lori sebagai simbolik menerima bantuan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan IFE pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - "Terima kasih penyumbang dan sukarelawan," ucap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan kepada semua yang membantu dan menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban mangsa banjir di negeri ini.

Mohamed Fadzli berkata, tindakan segera pempengaruh, tokoh usahawan, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat mengurangkan beban lebih 100,000 mangsa terbabit.

Menurut beliau, masih ramai sukarelawan berada di negeri ini untuk membantu mangsa membersihkan kediaman serta menyediakan makanan siap masak.

"Pengorbanan kesemua mereka yang bekerja 24 jam dalam tempoh bencana sangat besar untuk rakyat Kelantan dan kita tidak dapat membalas jasa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan Oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa (IFE) pada Selasa.

Mohamed Fadzli memberitahu, sukarelawan dan semua yang membantu sanggup meninggalkan keluarga untuk bersama rakyat Kelantan yang dilanda musibah.

Beliau turut memohon maaf bagi pihak kerajaan negeri kerana tidak dapat menyediakan semua keperluan dalam tempoh bencana.

"Jika ada kesalahan di pihak kerajaan, wakil rakyat dan rakyat, kami minta maaf kerana dalam suasana begini (banjir) semua sibuk dengan tugas yang telah diamanahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan masih belum menerima laporan kerugian yang dialami akibat bencana berkenaan.

"Kita berharap tiada lagi gelombang kedua dan semua anggaran kerugian akan dilakukan selepas keadaan kembali pulih," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!