Kerajaan kaji tambah baik saraan Hakim Mahkamah Atasan - Azalina

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melaksanakan kajian untuk menambah baik saraan Hakim Mahkamah Atasan dengan mengambil kira peningkatan beban tugas kehakiman melibatkan pertambahan dan kerumitan menyelesaikan kes.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semakan gaji bagi Hakim Mahkamah Atasan kali terakhir dibuat pada 2015 manakala elaun 2009.
Menurutnya, punca kuasa berhubung saraan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi diperuntukkan di bawah Perkara 125(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan.
“Pesuruhjaya Kehakiman (Hakim Mahkamah Atasan) turut di bawah peruntukan sama. Perkara mengenai saraan hakim diperuntukkan secara khusus dalam Akta Saraan Hakim (Akta 45) dan jumlah nilai saraan yang diperuntukkan adalah tetap.
“Bagi Pegawai Undang-Undang (Majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen) yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) pula, urusan kenaikan gaji Majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen adalah di bawah bidang kuasa Bahagian Saraan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kerajaan mendukung kebebasan kehakiman dalam menegakkan dan melaksanakan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih serta doktrin pengasingan kuasa yang menjadi struktur asas Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai rancangan kerajaan untuk memperkenalkan skim atau mekanisme gaji baharu untuk hakim di Malaysia iaitu semakan gaji secara berkala dengan keperluan semasa.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan juga akan melihat keseluruhan sudut bagi memastikan sistem saraan terbaik diberikan kepada Hakim Mahkamah Atasan sejajar dengan tanggungjawab yang digalas oleh mereka.
“Peranan Hakim Mahkamah Atasan akan sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
