Air Selangor tambah baik aplikasi, laman web jadi lebih mesra pengguna
![Poster menunjukkan paparan laman web dan aplikasi mudah alih Air Selangor yang dinaik taraf dan bersifat lebih mesra pengguna.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/10/2923503.jpg)
KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya yang direka khas untuk menyelaras serta menyeragamkan titik sentuh komunikasi pelanggan yang lebih efisien dan mesra pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, naik taraf yang dilakukan baru-baru ini mengoptimumkan sistem dan proses dalaman pelbagai jenis perkhidmatan pelanggan.
Katanya, ia membolehkan pelanggan memantau bil air, melaporkan gangguan bekalan air serta menerima maklumat perkhidmatan secara langsung dan terkini.
"Dengan kepakaran teknologi yang kami ada, penambahbaikan yang diterapkan ini akan memudahkan urusan harian pengguna agar menjadi lebih pantas dan efisien daripada pelbagai segi termasuklah memantau trend penggunaan air mereka sehinggalah membuat pembayaran bil.
“Ini merupakan fasa pertama dalam transformasi digital kami untuk melancarkan ‘super app’ dan ‘super web’ pada tahun hadapan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna seiring visi kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan air yang terkemuka di Asia menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Penambahbaikan yang diterapkan termasuklah dari segi pengurusan akaun air kerana pengguna kini boleh log masuk dengan mudah menggunakan ID pelanggan atau perniagaan bagi menguruskan semua hal berkaitan akaun air menerusi satu platform.
![Penambahbaikan yang diterapkan dalam aplikasi mudah alih dan laman web Air Selangor termasuklah pengguna boleh mengajukan sebarang pertanyaan kepada pembantu maya Air Selangor.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/10/2923502.jpg)
Ia juga membabitkan perolehan maklumat mengenai bekalan air iaitu pengguna boleh memperolehi maklumat terkini tentang status bekalan air di kawasan mereka.
Penambaikan turut melibatkan bil dan pembayaran kerana pengguna dapat menguruskan semua bil mereka serta melakukan pembayaran dengan mudah pada bila-bila masa.
Naik taraf terbabit juga dari segi akses langsung ke perkhidmatan dalam talian yang membolehkan pengguna memohon perkhidmatan secara dalam talian dan memantau status permohonan mereka secara terus.
Pengguna juga boleh melaporkan insiden seperti paip bocor, paip pecah, kebocoran meter atau penyambungan paip haram dengan lebih mudah dan segera.
Selain itu, disediakan bantuan maya yang mana pengguna boleh mengajukan sebarang pertanyaan kepada pembantu maya Air Selangor, 'Joy' pada bila-bila masa.
Pengguna digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih Air Selangor yang telah dinaik taraf bermula 3 Disember lalu di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery serta melayari laman web baharu di www.airselangor.com bagi menikmati pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web rasmi Air Selangor di www.airselangor.com.
Pengguna juga boleh merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu di aplikasi Air Selangor, X, Facebook, Instagram atau menghubungi Pusat Hubungan Air Selangor di talian 15300.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!