Wang RM873,000 lesap terpedaya pelaburan janji untung tiga hari
KULAI - Seorang warga emas berputih mata apabila wang pelaburannya berjumlah RM873,000 lesap gara-gara tertipu dengan skim pelaburan yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, lelaki berusia 65 tahun itu tertarik untuk membuat pelaburan berkenaan apabila dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus hanya dalam tempoh tiga hari.
Malah, dia diberitahu bahawa wang keuntungan diperolehi akan dimasukkan ke akaun aplikasi yang perlu dimuat turun terlebih dahulu.
“Oleh kerana tertarik dengan keuntungan berkenaan, warga emas tersebut telah melakukan 19 kali transaksi pembayaran berjumlah RM837,000 kepada tujuh akaun bank tempatan mulai 18 Oktober hingga 27 November lalu.
“Setelah bayaran dibuat, mangsa telah membuat semakan di aplikasi miliknya dan mendapati keuntungan yang dipaparkan adalah sebanyak RM2,359,863.30.
“Bagaimanapun, ketika dia mahu membuat pengeluaran wang daripada aplikasi berkenaan, didapati akaun tersebut telah disekat dan ini membuatkan mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan terus membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!