Empat lagi pesakit Covid-19 pulih

Dr Wan Azizah - Foto: Bernama
Dr Wan Azizah - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Empat lagi pesakit yang dijangkiti koronavirus (Covid-19) dibenarkan pulang hari ini menjadikan jumlah pulih sepenuhnya daripada wabak berkenaan adalah tujuh kes.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata, keempat-empat individu terbabit merupakan kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

Menurutnya, mereka yang terbabit itu telah dikesan dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Besar Sungai Buloh pada 24 Januari lalu dan telah dilaporkan positif Covid-19.

“Mereka kini telah disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan menunjukkan hasil negatif selepas ujian dijalankan dua kali berturut-turut.

“Kerajaan mengucapkan tahniah kepada semua anggota kesihatan dan pegawai perubatan yang telah berusaha menguruskan kesemua kes ini sehingga mereka sembuh dan dibenarkan pulang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas JPBP berhubung Kluster Penyakit berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Ajiz Jamman dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah memaklumkan kesemua 107 individu yang diletakkan di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai Negeri Sembilan berada dalam keadaan baik.

"Jika keputusan saringan akhir menunjukkan negatif, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ke-14 iaitu Selasa depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai langkah-langkah diambil kerajaan bagi memastikan petugas kesihatan yang merawat pesakit positif Covid-19 tidak dijangkiti wabak itu, Dr Wan Azizah berkata, ujian saringan turut dilakukan terhadap mereka.

"Setakat ini tiada yang dijangkiti. Ujian saringan juga akan dilakukan terhadap mereka," katanya.