Lapan nelayan termasuk lima warga Indonesia ditangkap

Antara bot nelayan yang ditahan dalam operasi APMM di perairan Selangor, semalam.
Antara bot nelayan yang ditahan dalam operasi APMM di perairan Selangor, semalam.
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menangkap lapan nelayan termasuk lima warga Indonesia dalam operasi penahanan tiga buah bot tempatan di perairan Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, tangkapan pertama kira-kira jam 1 petang berjaya mengesan sebuah bot Kelas A di kedudukan 0.8 batu nautika barat laut Muara Sungai Tambak Jawa Besar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya telah berjaya menahan seorang tekong lelaki tempatan serta dua orang awak-awak warga Indonesia.

“Tangkapan kedua pula dilakukan terhadap seorang tekong disyaki warga Indonesia di kedudukan 0.9 batu nautika selatan Muara Sungai Besar, Selangor kira-kira jam 6.10 petang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika bot APMM mengiringi balik kedua-dua bot tahanan ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah, pihaknya berjaya mengesan sebuah lagi bot nelayan Kelas B1.

Katanya, empat lelaki termasuk dua awak-awak warga Indonesia kemudian ditahan untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati antara kesalahan yang dikesan adalah kerana menggajikan pekerja asing tanpa kelulusan selain warga asing yang dikesan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri," katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan itu berumur lingkungan dari 22 hingga 56 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.