Tujuh cedera nahas dua kenderaan
KULAI - Seramai tujuh individu cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Seelong-Ulu Tebrau, di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut pada jam 8.30 malam yang melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja dan Proton Persona.
"Hasil siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Proton Waja yang memotong di kawasan yang tidak dibenarkan telah bertembung dengan Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.
"Akibatnya, pemandu dan empat penumpang kereta Proton Waja terbabit mengalami kecederaan ringan di bahagian badan manakala pemandu dan penumpang Proton Persona mengalami kecederaan ringan di bahagian mata dan badan," katanya.
Seng Lee berkata, kes disiasat di bawah Kaedah 12(3) LN 167/59 kesalahan memotong di dua garisan berkembar.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Mohd Nazi Mohd Amin di talian 012-4446443 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!