'Kapal Rusia masih di Syria'

MOSCOW - Kapal milik Rusia masih belum meninggalkan pangkalan mereka di Tartus, Syria selepas ibu kota Damsyik kini dikuasai puak pemberontak.
Menteri Luar, Sergei Lavrov mengesahkan perkara itu ketika khabar angin tersebar di media sosial yang mendakwa pasukan sekutu rejim Presiden Bashar al-Assad beransur-ansur keluar dari negara bergolak tersebut.
"Latihan ketenteraan sedang berlangsung di Laut Mediterranean. Berkemungkinan imej satelit yang disebarkan itu telah disalah anggap sebagai sesuatu yang lain," katanya pada Ahad selepas mesyuarat bersama rakan sejawatannya dari Turkiye dan Iran di Qatar.
Difahamkan, latihan ketenteraan yang dimaksudkan Lavrov adalah yang melibatkan tentera laut dan udara pada awal bulan lalu.
Delegasi Ankara, Teheran dan Moscow mengadakan pertemuan di Doha pada Sabtu untuk membincangkan situasi yang sedang berlaku di Damsyik.
Sejak minggu lalu, Rusia menyokong tindak balas ke atas puak pemberontak dipimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang melancarkan serangan mengejut ke atas Aleppo.
Moscow telah melancarkan campur tangan dalam konflik di Syria sejak 2015 untuk menghapuskan sejumlah 'pengganas' termasuk Daesh.
Sejak itu, Rusia terus mengekalkan kedudukan tentera mereka dan berpangkalan di Khmeimim dan Tartus. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

