Bina semula identiti BN - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) perlu menyusun semula kekuatan parti dengan mengukuhkan kembali sokongan rakyat terhadap gabungan itu.
Justeru Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan tiga kerangka langkah ke hadapan yang perlu diberi perhatian melibatkan penjenamaan semula, mentakrifkan semula dan menyusun semula.
"Penjenamaan semula BN mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa.
"Dengan pendekatan proaktif, inklusif dan inovatif, BN mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman.
"Pendekatan 'brand humanization' contohnya boleh memperkukuhkan usaha ini dengan menunjukkan sisi BN yang lebih mesra dan manusiawi," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen dan pengisian media sosial.
Menurutnya, ia penting bagi mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda dan generasi digital.
Selain itu, beliau turut mengemukakan langkah pentakrifan semula gabungan dengan BN perlu menyusun semula hala tuju dengan visi dan misi jelas, selaras aspirasi Malaysia yang berpaksikan masa depan.
"Kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan perlu mengikut kepada acuan masyarakat yang rencam dan pelbagai.
"Dahulu, pendekatan kita lebih tertumpu pada cara tradisional dalam menyantuni rakyat dan kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data, memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen serta corak pemikiran rakyat.
"BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme," ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyeru kaedah penyusunan semula menerusi pengukuhan gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat serta menangani cabaran masyarakat menerusi pendekatan inklusif dan aspirasi bersama.
Malah ujarnya, pendekatan pemilihan calon juga perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan kepada mereka yang aktif di lapangan.
"Kejayaan pilihan raya (kecil) BN semasa di (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri dan Mahkota juga adalah tindakan tepat mengikut kehendak rakyat.
"Jadi kita susun sebaiknya, kenal pasti calon berpotensi lebih awal. Saya yakin dengan gerak langkah baharu ini, BN mampu menjadi sebuah kuasa dinamik yang merapatkan jurang tradisional, sekali gus mencorakkan hala tuju parti lebih kukuh serta berdaya saing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!