32 jambatan Bailey dibina di kawasan terjejas bencana - Ahmad Zahid
SABAK BERNAM - Kerajaan sedang mengatur gerak bagi membina 32 jambatan Bailey di kawasan terjejas akibat jambatan runtuh dan jalan rosak yang menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini kerajaan telah mengenal pasti tujuh lokasi yang akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
"Selebihnya, pembinaan jambatan Bailey ini membabitkan kerjasama antara Kor Jurutera ATM dan JKR," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid memberitahu, pada masa ini, kerajaan sedang membuat ujian tanah di kawasan tertentu sebelum pembinaan jambatan terbabit.
Katanya, beberapa tindakan kejuruteraan sedang dilakukan di kawasan terjejas yang dikenal pasti mempunyai struktur tanah lembut dan mudah rosak.
Menurut beliau, kebanyakan pembinaan jambatan Bailey itu dibina di negeri Kelantan dan Terengganu.
"Dua jambatan Bailey telah pun siap sepenuhnya di Rantau Panjang dan Pasir Mas, yang kedua-duanya di Kelantan dan sedang meneliti situasi di Terengganu.
"Kos keseluruhannya bergantung kepada siapnya kerja-kerja pembinaan jambatan itu, tetapi saya telah meminta agar kerja-kerja itu disiapkan dalam tempoh 72 jam daripada mula pembinaan," tambah beliau.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek itu melibatkan usaha menaiktaraf Jalan Nipah, Tali Air 13 dan Peket 100 Daerah Sabak Bernam sepanjang 8.1 kilometer.
Kata beliau, projek itu membawa penjimatan dengan dengan kos sebenar RM17.7 juta berbanding peruntukan yang diluluskan sebanyak RM18.1 juta.
"Ini bermakna, dengan kecekapan semua pihak memantau dan menyelia projek ini, wang kerajaan berjaya dijimatkan sebanyak RM400,000," kata beliau.
Projek naik taraf jalan terlibat bermula daripada Jalan Negeri B110 Jalan Terusan Utama bersambungan dengan Jalan Persekutuan FT005 yang mana boleh terus ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Jalan yang dinaik taraf ini juga boleh menghubungkan ke Pekan Sekinchan, Pasir Panjang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!