X

Kindly register in order to view this article
!

Hafez tunggu saman Asmuni

Sidang media Pas Perak yang diketuai Mohd Akmal (duduk, tengah) bersama Wan Rohimi (duduk dua dari kiri) dan turut dihadiri Hafez (duduk, dua dari kanan) di Pejabat Pas Perak hari ini.
A
A

IPOH - Ketua Penerangan Pas Perak, Hafez Sabri tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berhubung kenyataan media di laman Facebook mengenai isu sambutan Tahun Baharu Cina di Surau Al-Qomar.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, sebagai mewakili Hafez, pihaknya sudah meneliti kenyataan media tersebut dan melihatnya sebagai tindakan wajar kerana isu itu mendatangkan keresahan kepada masyarakat.

Menurutnya, kenyataan dibuat Hafez itu juga jelas tidak menimbulkan sebarang elemen fitnah atau mencemar nama baik Asmuni yang merupakan Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak.

"Jadi saya tidak faham kenapa exco agama dan pimpinan Amanah Perak mengambilnya sebagai sesuatu yang peribadi. Ini melibatkan isu sensitiviti masyarakat, melibatkan pelanggaran peraturan. Kita berhak mempersoalkan.

"Peguam Asmuni bagi tujuh hari untuk permohonan maaf, menarik balik tapi notis tujuh hari belum terima lagi. Cuma saya nak nyatakan dalam kes ini tak perlu tunggu tujuh hari untuk saman. Mereka boleh saman hari ini dan kita bersedia berdepan peguam Asmuni," katanya pada sidang media di Pejabat Pas Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin dan Hafez sendiri.

Wan Rohimi
Wan Rohimi

Sementara itu, Wan Rohimi berkata, selain tidak akan mengemukakan permohonan maaf seperti diminta, pihaknya juga tidak akan menarik balik kenyataan dibuat dan tidak akan melakukan sebarang tindakan sebagaimana dituntut peguam Asmuni, Mohd Fitri Asmuni.

Dalam pada itu, Mohd Akmal dalam sidang media sama berkata, ugutan saman dikemukakan Asmuni itu memperlihatkan pemimpin itu tidak boleh menerima teguran.

Katanya, dalam mana-mana negara demokrasi, pihak pembangkang meminta penjelasan kepada kerajaan merupakan amalan biasa.

"Kita di dalam Pas Perak akan tetap bersuara bagi mewakili rakyat di Perak sama ada Islam mahupun bukan Islam. Kalau dia nak sentap tak payah jadi exco agama sebab banyak perkara kita nak tanya.

"Saya hormat exco lain seperti Dr Abdul Aziz Bari yang teruk dihentam banyak pihak tetapi tidak pun bertindak nak saman sesiapa," katanya.

Sementara itu, peguam Asmuni, Mohd Fitri Asmuni yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengemukakan saman selepas tamat tempoh tujuh hari diberikan kepada Hafez untuk meminta maaf.

Katanya, tiada keperluan untuk mengemukakan notis tuntutan maaf secara bertulis kerana kenyataan menerusi sidang media sebelum ini memadai.

Pada 11 Februari lalu, Mohd Fitri yang juga Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang Amanah Perak tampil meminta Hafez mengemukakan permohonan maaf kepada Asmuni berhubung kenyataan media yang disifatkan berbaur fitnah.

Beliau menganggap Hafez membuat fitnah kononnya Asmuni selaku Exco Agama Islam gagal untuk mengambil tindakan terhadap penganjuran tarian naga dan mercun di Surau Al-Qomar.