'Suami nekad lunaskan tanggungjawab pada Sukma 2024'
"SUAMI sempat melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengurus pasukan atlet para Sukan Malaysia (Sukma) sebelum dia tinggalkan kami selamanya."
Itu luahan Salmiah Zakaria, 41, isteri kepada atlet para boling padang, Allahyarham Husny Hussain, 57, yang meninggal dunia pada 14 November lalu akibat kanser kulit.
Salmiah berkata, Allahyarham suaminya nekad menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai pengurus atlet para Sukma 2024 kontinjen Negeri Sembilan di Sarawak, walaupun dalam keadaan tidak mengizinkan seolah-olah tahu dia akan 'pergi' selamanya.
"Allahyarham sebelum ini memang menjalani rawatan susulan di Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan pada Februari lepas dia menjalani pembedahan bagi membuang ketulan di perut serta disahkan kanser kulit sekitar Ogos lepas.
"Seterusnya pada awal November selepas sekian lama dirawat, dia dibenarkan pulang namun keadaannya semakin merosot lalu dikejarkan ke Hospital Jempol dan dihantar Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Ujarnya, bagaimanapun Allahyarham tidak sempat meneruskan rawatan susulan kanser di HTAA setelah keadaannya kritikal dan menghembuskan nafas terakhirnya di HTAN pada jam 11.47 pagi.
"Kami mempunyai minat yang sama dalam sukan boling padang sejak lebih 10 tahun lalu, Allahyarham jugalah yang banyak memberi sokongan supaya saya bergerak aktif dalam sukan ini.
"Sepanjang dia menerima rawatan pun, tidak lekang daripada mulutnya bertanya tentang perkembangan atlet paralimpik Negeri Sembilan," katanya yang mempunyai seorang anak berusia lapan tahun.
Katanya, kehilangan Allahyarham itu memberi kesan mendalam apabila diuji pula dengan anaknya yang telah disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) pembelajaran baru-baru ini.
"Saya berharap segala urusan saya dipermudahkan untuk menjaga dan mendidik satu-satunya anak kesayangan kami dalam apa juga keadaan.
"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang sentiasa ambil berat, walaupun teman setia saya sudah pergi selamanya," katanya.
Dalam pada itu katanya, tidak menolak anaknya itu bakal mewarisi minat terhadap sukan tersebut susulan anaknya sudah diberi pendedahan dan latihan.
Sebagai rekod, Allahyarham Husny merupakan Pengerusi Persatuan Boling Padang OKU Negeri Sembilan sejak 2020 dan seorang penjawat awam di Pahang, manakala jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lui Barat iaitu di kampung halaman Salmiah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!