Mangsa banjir tidak perlu ganti lesen, geran hilang atau rosak - JPJ
ALOR GAJAH - Mangsa terjejas banjir yang mengalami masalah geran kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) hilang atau rosak tidak perlu membuat penggantian dokumen berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semua dokumen terbabit boleh diakses dalam aplikasi MyJPJ selaras dengan peralihan perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan.
Menurutnya, dengan membuat pendaftaran di aplikasi terbabit agensi penguat kuasa seperti JPJ juga dapat menentukan kesahihan dokumen terbabit.
Katanya, manakala individu yang masih tidak mempunyai MyJPJ, mereka hanya perlu mendaftar untuk mengakses dokumen digital seperti lesen, cukai jalan, geran dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC).
"Tidak perlu dirisaukan kerana mana-mana yang terkesan (mangsa banjir) tidak perlu membuat penggantian.
"Tanggungjawab untuk menentukan kesahihan lesen atau cukai jalan terletak di bahu agensi penguat kuasa itu sendiri dan kita juga ada pendigitalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian JPJ Cawangan Masjid Tanah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Masjid Tanah di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kewujudan cawangan baharu JPJ itu di daerah Alor Gajah dijangka dapat mengurangkan sehingga 20 peratus kesesakan pelanggan di Kompleks JPJ Bukit Katil.
Menurutnya, cawangan itu merupakan satu keperluan kepada rakyat kawasan itu memandangkan dalam tempoh setahun perkhidmatan JPJ Mobile di Masjid Tanah telah merekodkan hampir 10,000 pelanggan hadir berurusan untuk lima jenis urus niaga yang ditawarkan pihaknya.
Ujar beliau, dalam tempoh itu juga sebanyak 26,338 transaksi direkodkan dengan kutipan hasil berjumlah RM2.52 juta.
“Sebelum ini mereka berurusan di Kompleks JPJ Bukit Katil yang terletak hampir 36 kilometer dari Masjid Tanah.
"Kita jangkakan kesesakan dapat dikurangkan antara 10 hingga 20 peratus susulan hampir 100 pelanggan didapati berkunjung ke cawangan Masjid Tanah setiap hari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!