1,238 sekolah masih beroperasi dua sesi
SHAH ALAM - Sebanyak 1,238 sekolah atau 12.1 peratus masih lagi beroperasi secara dua sesi melibatkan 649 sekolah rendah dan 589 sekolah menengah di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan memaklumkan, pengoperasian dua sesi itu dilaksanakan kerana prasarana sekolah yang tidak dapat menampung pertambahan murid akibat pembinaan kawasan perumahan baharu dan permintaan tinggi oleh penduduk.
Menurutnya, isu kepadatan sekolah adalah bersifat dinamik iaitu bergantung kepada jumlah enrolmen murid yang dijana daripada populasi kesan daripada pembangunan sesebuah kawasan perumahan dan perkembangan kegiatan ekonomi setempat.
“Oleh itu, setiap penyelesaian dalam menangani kepadatan sekolah adalah berbeza dan perlu dilakukan berdasarkan isu di lokasi.
“Sehubungan itu, untuk mencapai hasrat satu sesi ini, KPM mengambil inisiatif melalui penyewaan, pembelian atau pembinaan kabin, penambahan bilik darjah (BD) dan pembinaan sekolah baharu.
“Penyewaan kabin sebagai alternatif tambahan BD adalah merupakan langkah jangka pendek yang diambil untuk mengatasi isu kepadatan murid,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Khamis.
KPM menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang bertanyakan tahap kesediaan infrastruktur, jumlah guru dan tahap kepadatan murid dalam kelas bagi menjadikan semua sekolah di seluruh negara mempunyai sistem satu sesi seperti yang diumumkan oleh Menteri KPM pada Mei 2024 yang lepas.
Berdasarkan data KPM juga, sehingga 7 Oktober 2024, terdapat sebanyak 10,235 buah sekolah yang sedang beroperasi.
Sehingga 31 Oktober 2024, jumlah perjawatan guru seluruh negara adalah 432,812 dan pengisian guru adalah 417,881 orang sementara kekosongan guru adalah seramai 14,931 dan peratus pengisian adalah 96.55 peratus.
Bagaimanapun, KPM menjelaskan, penyewaan kabin adalah tertakluk kepada kesesuaian dan kesediaan ruang tapak sekolah.
Kementerian juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengemukakan dalam Inisiatif Belanjawan 2025 permohonan penyewaan kabin bagi sekolah padat yang telah dikenal pasti.
“KPM sentiasa komited dalam usaha menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di seluruh negara.
“Selain itu, antara langkah jangka masa panjang yang diambil oleh pihak KPM bagi mengatasi masalah kepadatan adalah melalui penambahan BD di sekolah sedia ada serta pembinaan sekolah baharu berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak.
“Permohonan mengenai cadangan pembinaan BD tambahan dan pembinaan sekolah baharu dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun. Kelulusan dan pelaksanaan projek adalah tertakluk kepada agensi pusat, keutamaan serta kedudukan kewangan semasa Kerajaan,” jelasnya.
Secara keseluruhan, pengoperasian sekolah satu sesi adalah menjadi matlamat KPM dan hasrat bersama untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna tanpa mengira kaum dan latar belakang budaya, tidak kira di bandar mahupun di pedalaman bagi memastikan tiada siapa yang tercicir.
KPM juga melakukan pelbagai perancangan dan pelaksanaan intervensi secara konsisten bagi memastikan setiap sekolah mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk menampung sesi pembelajaran yang lebih efisien.
“Dengan perancangan yang teliti dan sokongan yang kukuh, sasaran untuk melaksanakan sistem satu sesi di semua sekolah dapat direalisasikan dengan jayanya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!