Liverpool sekadar seri namun Slot puji impak Salah

ARNE Slot memberikan pujian kepada Mohamed Salah selepas penyerang Liverpool itu sekali lagi mempamerkan kualitinya dengan meledak dua gol ketika pasukan itu seri 3-3 menentang Newcastle United pada Rabu.
Liverpool gagal meneruskan rentak kemenangan tujuh perlawanan dalam semua pertandingan selepas Fabian Schar menghukum kesilapan penjaga Liverpool, Caoimhin Kelleher untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-90.
Walaupun jurang mata sebagai pendahulu liga dikecilkan kepada tujuh mata kerana keputusan seri itu, Liverpool masih berada pada landasan terbaik untuk memenangi kejuaraan pertama sejak 2020.
Ia juga disumbangkan persembahan Salah yang cukup cemerlang meledak 15 gol dalam semua pertandingan, termasuk sembilan gol dalam tujuh perlawanan liga terakhirnya.
Namun, masa depan pemain berusia 32 tahun itu di Anfield masih menjadi topik hangat, dengan kontraknya akan tamat pada penghujung musim dan tiada perjanjian baharu dibuat.
Slot tidak menyatakan secara jelas mahu Salah kekal, namun dia menjelaskan betapa pentingnya pemain kelahiran Mesir itu dalam musim pertamanya sebagai pengurus.
“Sukar untuk saya meramal masa depan, tetapi satu-satunya perkara yang boleh saya jangkakan atau ramalkan ialah dia berada di tempat yang sangat baik ketika ini.
“Apa yang membuatkan dia bagi saya lebih istimewa ialah pada jam pertama atau sebelum kami menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 1-1, anda mungkin berfikir dia tidak bermain permainan terbaiknya hari ini.
“Kemudian dia hadir dengan bantuan gol dua gol dan ancaman berterusan kepada lawan. Perkara sebegitu tidak ramai pemain boleh lakukan jika mereka bermain sejam pertama seperti dia lakukan.
"Itu juga yang membuatkan dia istimewa. Jika anda hanya melihat gol dan mengakui penyudahnya begitu klinikal. Dia seorang pemain istimewa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
