United berdepan masalah kecergasan pemain - Amorim

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim berkata dia terpaksa berdepan dengan kekangan masalah kecergasan pemain yang kembali daripada kecederaan ketika dia mengalami kekalahan pertamanya di kelab itu.
United tewas 0-2 kepada Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada Khamis menerusi gol pada separuh masa kedua oleh Jurrien Timber dan William Saliba.
Amorim berkata, pasukannya masih berdepan masalah kecederaan dan kekurangan kecergasan menyebabkan pilihan pemain untuk diturunkan pada perlawanan itu terjejas.
Harry Maguire, Tyrell Malacia dan Mason Mount semuanya bermain kurang sejam di Emirates selepas baru pulih daripada kecederaan manakala Leny Yoro membuat penampilan pertamanya untuk kelab itu selepas berehat panjang akibat kecederaan.
“Ia bukan kerana saya suka melakukan perubahan sepanjang masa, tetapi kami perlu memastikan semua skuad cergas.
"Sebagai contoh, Harry Maguire, Tyrell Malacia, Mason Mount, Leny Yoro mempunyai had masa mereka untuk bermain kerana belum cergas sepenuhnya.
"Jadi, kami perlu menguruskannnya dalam permainan menggunakan cara berbeza. Esok kami perlu menilai dan pemain yang sedikit berisiko cedera tidak akan bermain," katanya.
Di sebalik kekalahan itu, Amorim berkata dia akan tetap mengambil sikap positif daripada persembahan pemainnya di Emirates.
“Saya membuat penilaian terhadap permainan tanpa mengira keputusannya. Seperti yang saya katakan, selepas 4-0 (kemenangan menentang Everton) anda boleh mengambil perkara yang positif, tetapi kami perlu meningkatkan persembahan dan anda sudah tahu perkara itu.
“Tetapi anda boleh merasakannya di stadium, terutamanya pada penghujung separuh masa pertama anda boleh merasakan mereka kehilangan rentak permainan.
"Anda melihat lawan menjaringkan gol dan kemudian momentum berubah dan sangat sukar untuk kami mengawal permainan sepenuhnya tetapi kami tetap mencuba," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
