Lelaki kudung dua tangan didakwa cabul 13 perempuan
KOTA MATARAM - Seorang lelaki kudung kedua-dua tangannya berdepan tuduhan melakukan serangan seksual.
Kesahihan dakwaan tersebut bagaimanapun mencetuskan persoalan kerana suspek di bawah kategori orang kurang upaya itu memerlukan bantuan untuk melakukan aktiviti hariannya.
I Wayan Agus Suwartama alias Agus Buntung, 22, dari Kota Mataram, Nusa Tenggara Barat didakwa melakukan perbuatan itu setelah 13 gadis termasuk tiga individu bawah umur tampil mengaku menjadi mangsanya.
Hal tersebut didedahkan Ketua Komisi Disabilitas Daerah (KDD), Joko Jumadi pada Selasa selepas kes tersebut mendapat perhatian banyak pihak.
"Ia bermula dengan aduan tiga mangsa dan bertambah kepada 10 orang lagi," katanya.
Menurutnya lagi, Agus pertama kali melakukan perbuatan itu pada 2022 dan kes lain disebut berlaku pada 2024.
"Ada yang sampai melakukan hubungan intim. Mangsa juga dibawa ke homestay, namun sempat melarikan diri," jelasnya.
Pelaku memanipulasi mangsa dengan menggunakan 'maklumat rahsia' mereka sebagai ugutan untuk membenarkan tindakan serangan seksual tersebut.
Sebelum ini, pihak berkuasa menemui dua bukti yang mengaitkan Agus sebagai suspek serangan seksual.
Jika disabit bersalah, dia boleh dikenakan hukuman maksimum 12 tahun penjara.
Menerusi laporan pada awal minggu lalu, Agus bertindak mempertahankan dirinya.
"Bagaimana saya boleh memperkosa sedangkan saya tidak berupaya buka seluar atau baju sendiri," menurutnya yang menjelaskan salah seorang mangsa berusia 23 tahun yang membuat aduan sebenarnya melakukan secara rela tanpa sebarang unsur paksaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!