Pakej dilaksana secara fasa formula terbaik

Dr Ahmed Razman
Dr Ahmed Razman
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi bersetuju pelan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi domestik dilaksanakan mengikut fasa bagi menangani masalah kelembapan ekonomi sepanjang tahun ini.

Pakar ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, keperluan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi sangat mendesak susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) menambahkan kesan kemelesetan ekonomi dunia dan negara.

Menurutnya, kerajaan perlu mencontohi pemerintah China yang sudah membentangkan pakej rangsangan ekonomi negara itu bernilai RM91 bilion susulan sektor pelancongan negara berdepan kerugian RM6 bilion sehingga kini.

“Bagaimanapun, suntikan rangsangan ekonomi bakal dikemukakan kelak tidak perlu sehingga RM21 bilion sebaliknya dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama membabitkan jumlah RM10 bilion hingga RM15 bilion,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sentimen sama turut dikongsi Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Rusmawati Said yang berpendapat, pelan suntikan rangsangan ekonomi negara perlu dilaksanakan secara bersasar atau berfasa.

“Mengenai cadangan unjuran suntikan dana bagi merangsang ekonomi negara sebanyak RM21 bilion, adakah negara kita mempunyai keupayaan kewangan sebanyak itu?“Kalau ada sekalipun, mungkin unjuran nilai itu lebih berbaloi disalurkan secara bersasar dan berfasa dengan fokus penyalurannya kepada sektor yang membantu meningkatkan pembangunan ekonomi domestik negara seperti pertanian dan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, pakej tersebut juga dijangka merangkumi insentif fiskal bagi merangsang permintaan dalam industri lain yang terjejas serta perbelanjaan tambahan kerajaan bagi memacu permintaan domestik dan meningkatkan keyakinan awam.

“Oleh kerana impak ekonomi (Covid-19) memaparkan apa yang pernah dialami sewaktu penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini, pakej rangsangan ini juga dijangka meliputi banyak perkara yang sama," katanya kepada Bernama semalam.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Selain aspek perbelanjaan kerajaan dan aktiviti pelaburan, Kim Leng berkata, pendekatan itu dijangka memberi tumpuan terhadap usaha mengehadkan pemberhentian pekerja menerusi kelonggaran untuk majikan dari segi gaji.

Langkah lain termasuk pelepasan untuk perniagaan kecil dan industri terjejas serta meningkatkan kuasa beli isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

“Institusi kewangan juga boleh memberi kerjasama dengan menawarkan kelonggaran dari segi penangguhan bayaran hutang, syarat pembayaran lebih anjal dan pakej kewangan khas untuk perniagaan dan individu terjejas dengan krisis tersebut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KDNK 2019 terendah sejak 2009 kerana gangguan komoditi

Jelasnya, sewaktu penularan SARS pada 2003, sektor pelancongan dan berkaitan seperti penerbangan, pengangkutan, hotel, restoran, makanan dan minuman serta premis runcit terjejas secara langsung berikutan penyusutan bilangan pelancong.

Menurutnya, kedatangan pelancong China yang mewakili 11.4 peratus daripada jumlah pelancong di Malaysia dan menyumbang 14.6 peratus dari segi perbelanjaan pelancongan pada 2018, adalah segmen paling terjejas sekiranya tempoh kuarantin dan larangan perjalanan antarabangsa itu dilanjutkan.