Malaysia-Vietnam perkukuh kerjasama tangani jenayah sempadan

Muhyiddin (kiri) bersalaman dengan To Lam ketika menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam Vietnam itu di Kementeriannya di Putrajaya semalam. - Foto Bernama
Muhyiddin (kiri) bersalaman dengan To Lam ketika menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam Vietnam itu di Kementeriannya di Putrajaya semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Vietnam akan memperkukuhkan lagi kerjasama dalam menangani isu-isu keselamatan melibatkan kedua-dua negara.

Perkara itu dipersetujui dalam pertemuan kira-kira satu jam antara Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Jeneral To Lam yang melakukan kunjungan hormat ke atas Muhyiddin di Kementerian Dalam Negeri di sini.

Pejabat Menteri Dalam Negeri memaklumkan kedua-dua pemimpin itu menyentuh kerjasama mendepani isu jenayah rentas sempadan, isu perairan serta penguatkuasaan agensi maritim.

"Tumpuan perbincangan adalah mengenai isu-isu keselamatan di kawasan perairan kerana kedua-dua negara adalah bersempadan," kata kenyataan kementerian itu.

Kedua-dua pemimpin juga komited memperkasakan peranan agensi maritim masing-masing dalam usaha menangani isu-isu jenayah di kawasan perairan.

Ini adalah kunjungan hormat kali pertama To Lam sejak Muhyiddin mengetuai Kementerian Dalam Negeri pada 2018.

Malaysia dan Vietnam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Mencegah dan Memerangi Jenayah Rentas Sempadan pada Oktober 2015. - Bernama

Artikel Berkaitan: