X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan pakej rangsangan mampu kurangkan impak Covid-19

A
A

PAKEJ rangsangan ekonomi yang dicadangkan untuk mengurangkan impak berikutan penularan koronavirus (Covid-19) adalah tepat pada masanya untuk merangsang ekonomi domestik berikutan sektor luaran yang tidak menentu, demikian menurut pakar ekonomi.

Bank Islam Malaysia Bhd berkata, kesemua langkah sokongan yang diambil akan melengkapi pengurangan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus baru-baru ini untuk merangsang perbelanjaan.

“Langkah-langkah lain termasuklah pilihan mengurangkan kadar sumbangan pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, langkah ini akan mendorong rakyat mempunyai lebih banyak wang bagi memastikan perbelanjaan pengguna kekal sebagai pemacu penting bagi pertumbuhan domestik.

Pendekatan proaktif yang lain, katanya termasuk menyediakan lebih banyak pembiayaan kepada sektor yang terjejas terutama industri pelancongan dan skim jaminan kewangan untuk membantu syarikat membiayai semula pinjaman.

Sementara itu, Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berpendapat pakej rangsangan itu harus diperluaskan kepada semua industri dan perniagaan tanpa mengira saiz untuk mendapat kesan pengganda lebih tinggi.

“Ia akan memberikan rantaian yang lebih baik,” katanya sambil memaklumkan syarikat-syarikat besar pada kebiasaannya akan mengambil masa untuk memulakan projek berbanding perusahaan kecil dan sederhana yang mengambil masa singkat.

Oleh itu beliau berkata, kesan pengganda adalah lebih cepat terutamanya bagi pakej berkaitan pelancongan.

Bagi merangsang sektor pelancongan domestik, Shazali menyarankan pengenalan insentif dalam bentuk diskaun hotel dan inap desa, pengurangan kadar tol, selain pengecualian cukai bagi hotel-hotel terkemuka.

“Negara memerlukan pakej rangsangan yang menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, misalnya membawa masuk projek-projek kecil seperti pembinaan sekolah atau projek lain yang seumpama itu di seluruh negara supaya mampu mencapai pertumbuhan secara keseluruhan,” katanya.

Menjawab sama ada pakej rangsangan itu akan meluaskan defisit fiskal kerajaan, Shazali berkata, kerajaan perlu membuat pilihan untuk kekal pada lebihan atau dalam defisit.

“Di sesetengah peringkat, sekiranya pertumbuhan adalah lebih penting berbanding defisit untuk kesejahteraan ekonomi dan rakyat, mengapa tidak membuat pilihan untuk memajukan rakyat berbanding mempunyai lebihan belanjawan.

“Banyak negara lain seperti Singapura dan Jepun mempunyai defisit belanjawan, namun mereka masih melakukan yang agak baik,” kata Shazali.

Afzanizam pula berkongsi iktibar yang boleh dipelajari daripada penularan Covid-19 kepada syarikat agar mempelbagaikan perolehan dan tidak terlalu bergantung kepada satu negara sahaja.

“Dalam erti kata lain, ada peluang untuk Malaysia memperkenalkan negara sebagai hab pengeluaran untuk produk bernilai tambah tinggi.

“Kita mempunyai tarikan jualan yang boleh diketengahkan untuk pelaburan langsung asing yang lebih berkualiti dari segi bekalan elektrik yang boleh dipercayai, lebuh raya dan kumpulan tenaga kerja yang berbakat,” katanya. - Bernama