Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: Tiada keperluan kenakan sekatan terhadap kapal persiaran

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abd Razak menerangkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai projek ECRL di Pejabat Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abd Razak menerangkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai projek ECRL di Pejabat Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kerajaan tidak bercadang melakukan sekatan terhadap kapal persiaran dan kargo untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia biarpun berlaku penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana penumpang perlu melalui dua saringan kesihatan sebelum dibenarkan meninggalkan kapal.

"Pertama, saringan ini dijalankan oleh kerajaan dan operator (kapal persiaran). Sebelum mana-mana kapal persiaran berlabuh di Malaysia, mereka terlebih dahulu perlu menghantar senarai nama penumpang dan melakukan saringan kesihatan awal.

"Jika didapati ada dalam kalangan penumpang menunjukkan gejala influenza atau Covid-19, mereka akan dikuarantin dan tidak dibenarkan turun daripada kapal itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Terminal Boustead Cruise Centre di sini hari ini.

Menurutnya, langkah keselamatan juga diambil dengan setiap pintu masuk di pelabuhan Malaysia dilengkapi pengimbas suhu badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes positif Covid-19 bertambah, pelancong Wuhan mangsa ke-19

"Bagi anak kapal kargo, pegawai kesihatan akan menaiki kapal berkenaan dan melakukan saringan sebelum mereka dibenarkan mendarat.

“Setakat ini, semua penumpang kapal persiaran dan kapal kargo yang berlabuh di pelabuhan seluruh negara sihat," katanya.

Mengulas lanjut, Anthony turut menjelaskan bahawa pelabuhan di Malaysia hanyalah 'calling port' atau tempat persinggahan sementara kapal persiaran.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan kapal persiaran yang singgah di sini (Terminal Boustead Cruise Centre) beroperasi di pelabuhan Singapura dan seperti semua tahu, negara itu telah mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi elak penularan wabak ini.

"Jadi, rakyat di Malaysia tidak perlu bimbang kerana mana-mana pelancong yang dikesan tiba dari Wuhan, China tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

"Selain itu, sebelum mereka sempat sampai ke sini, mereka perlu melepasi saringan keselamatan di negara China yang kita semua tahu penduduk di Hubei dan Wuhan dikuarantin," katanya.